Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya berniaga di pasar. Apabila selesai berniaga terdapat lebihan wang tunai. Apa yang harus saya lakukan dengan wang tersebut. Sila terangkan dengan terpeinci. Sekian terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, jika lebihan wang tunai tersebut didapati daripada hasil keuntungan melalui perniagaan yang halal dan jual beli yang benar, cukup rukun dan mematuhi syaratnya, maka ia adalah rezeki yang halal. Firman Allah SWT : Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya”. (al-Baqarah : 172) Namun, jika lebihan wang tunai tersebut bukan daripada keuntungan dan saudari yakin ia bukan milik saudari, maka serahkan kepada ulil amri (pemerintah atau pihak yang berautoriti seperti baitulmal), mungkin ada yang tercicir duit. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.