BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

Saya sudah haid selama 40 hari (sedang mengambil pil hormon namun tiada tanda berhenti). Soalan saya;

  1. Jika haid saya tidak putus, adakah saya perlu anggap  selepas hari ke-15, semua darah yang keluar sehingga ia berhenti adalah istihadah (walaupun mungkin berlanjutan sehingga 30 hari) ?
  2. Atau, istihadah juga ada tempohnya (contoh 15 hari) dah darah kembali dianggap sebagai darah haid (kitaran haid kedua) ?

Hal ini kerana saya akan mengerjakan umrah dalam masa sebulan. Jadi saya harap dapat beribadat dalam keadaan yang dibenarkan apabila dapat memahami tempoh haid dan tempoh suci. 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan:

Soalan 1:  

2 perkara asas yang perlu diketahui; Pertama, darah haid tidak akan melebihi 15 hari. Kedua, jika darah yang datang melebihi 15 hari, ini bererti darah haid telah bercampur dengan darah istihaddah. Semasa darah istihaddah keluar, wanita dikira berada dalam keadaan suci.

Terdapat (2) dua cara penyelesaian yang boleh dibuat:

1. Jika puan tahu ada perbezaan darah-darah yang datang itu seperti ada darah yang kuat (iaitu warna gelap, likat atau berbau -contoh seperti warna merah gelap) dan ada darah yang lemah (berwarna terang seperti warna merah muda), maka puan hendaklah menjadikan darah yang kuat itu sahaja sebagai darah haid. Manakala darah yang lemah dijadikan sebagai darah istihadhah. Tetapi penyelesaian ini perlukan rekod yang jelas bagi bentuk-bentuk darah yang keluar setiap hari. Jika puan keliru dan tidak jelas atau tidak tahu membezakan bentuk-bentuk darah yang keluar, maka penyelesaian cara yang kedua boleh dilakukan iaitu:

2. Cuba ingat semula haid terakhir puan yang normal sebelum berlakunya darah berterusan ini. Begitu juga cuba ingat semula jumlah hari suci terakhir puan.

Sebagai contoh, sebelum terjadinya gejala darah berterusan ini, haid puan adalah 8 hari, kemudian suci selama 20 hari, kemudian berlakulah gejala ini. Maka penyelesaiannya ialah apabila sahaja darah yang datang itu melepasi 15 hari maka hari ke 16 sepatutnya puan mandi dan solat. Kemudian jadikan haid puan hanya 8 hari sahaja dan suci puan ialah 20 hari ini. Ini bererti kitaran haid puan ialah 28 hari. Justeru, puan hendaklah qada’ semula solat yang ditinggalkan sejak dari hari ke 9 hingga hari ke 15. Selepas berlalu 28 hari yang merupakan kitaran haid puan iaitu campur hari haid dan hari suci yang normal sebelum ini, maka hari ke 29 itu anggap haid baru pula selama 8 hari, kemudian mandi dan anggap suci selama dua puluh hari, dan begitulah yang dilakukan selagi gejala itu belum tamat. Jika gejala darah berterusan ini tamat suatu hari nanti, maka mulakan pengiraan haid seperti biasa sebelum terjadinya gejala ini.

Contoh lain, jika haid terakhir puan ialah 10 hari dan suci 15 hari (perlu diingat tempoh suci tidak boleh kurang daripada 15 hari), maka kitaran puan yang perlu dipraktikkan dalam kes ini ialah 25 hari, iaitu jadikan haid puan 10 hari dan suci selepasnya 15 hari, kemudian mula haid baru dan begitulah seterusnya.

Pada dua contoh yang diberikan, bererti setiap kali berlalu 28 hari atau 25 hari maka anggaplah darah yang masih ada itu ialah haid baru.

Cara ke-2 ini lebih mudah dipraktikkan bagi mereka yang keliru dan sukar memahami perbezaan darah dan penyelesaiannya.

Soalan 2:  Sebagaimana yang dinyatakan tadi, semasa darah istihadhah keluar, perempuan dianggap sebagai dalam keadaan suci.  Memandangkan tiada tempoh had maksimum bagi tempoh suci, maka begitu juga tempoh istihadhah. Seorang perempuan mungkin didatangi haid sekali dalam seumur hidupnya, kemudian suci sehingga akhir hayat, begitu istihadhah berterusan hingga akhir hayat.

Sebagai contoh, jika hari pertama hingga hari ke 3 keluar darah merah, kemudian keluar darah kuning berterusan melebihi hari ke 15 hari (bererti telah bercampur darah haid dan istihadhah), maka 3 hari pertama adalah darah haid, dan darah kuning istihadhah. Dan sekiranya darah kuning berterusan keluar, maka ia dianggap darah istihadhah tanpa mengira berapa tempohnya, walaupun telah melebihi tempoh minimum suci 15 hari, sehingga keluar darah yang lebih pekat, yang dapat membezakan dengan darah kuning, maka darah yang pekat itu permulaan tempoh haid.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 99

message user image