BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya merupakan seorang pelajar.

Saya ingin bertanya, saya telah menjual buku digital di sebuah laman jual beli belah atas talian tanpa kebenaran publisher dengan harga yang murah (semuanya buku popular terbitan luar negara-english). Buku yang dijual merupakan buku yang saya dapatkan secara percuma di laman sesawang(private).

Jualan itu lebih kepada service disebabkan saya hanya mengambil harga kurang seringgit untuk satu tajuk buku -lebih kepada upah untuk berkongsi buku tersebut.

Selepas mendapat sedikit keuntungan, saya baru sedar akan hukum menjual tanpa kebenaran publisher. Saya berhenti menjualnya kerana ragu ragu dengan status wang yang diperolehi.

Walau bagaimanapun, saya telah menggunakan semua wang saya perolehi untuk membeli komputer walau masih ragu dengan status wang tersebut.

Akan tetapi selepas beberapa bulan, komputer yang saya beli itu telah rosak. Saya tahu mungkin ini disebabkan saya menggunakan wang yang tidak halal sumbernya.

 

Persoalan saya, apakah yang saya perlu lakukan? Semua wang tersebut telah saya gunakan dan saya masih tiada wang lebihan untuk mengganti balik wang tersebut. Sekiranya saya perlu menggantikan balik wang tersebut, berapa lamakah masa saya boleh ambik untuk menggantikannya(kerana saya masih belajar dan tiada sumber pendapatan tetapi) dan kepada siapa perlu diberikannya? Apakah yang saya perlu lakukan untuk menenangkan diri ini yang tak tenang dengan hasil tindakan sendiri mencari rezeki dengan cara yang haram? Bagaimana ingin meminta keampunan tersebut?

 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Dalam Islam sememangnya umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang mematuhi kehendak Syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil/salah.

Oleh yang demikian, wang yang diterima daripada hasil perniagaan yang dijalankan sememangnya tidak dibenarkan melainkan adanya kebenaran daripada pihak publisher atau penerbit. Hasilnya juga tidak boleh digunakan untuk apa-apa urusan berkaitan seperti membeli komputer dan sebagainya. Walaupun ianya bukan untuk keperluan makan, ia tetap dilarang.

Apa yang perlu dilakukan oleh tuan, adalah:

  1. Bertaubat kepada Allah SWT akan kesalahan yang dilakukan dan tidak akan mengulangi lagi.

       2. Sekiranya wang tersebut tidak dapat dipulangkan kepada pihak publisher, memadai diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri (BaitulMal) atau dibelanjakan untuk kegunaan manfaat umum seperti masjid, jalan raya dan sebagainya. 

       3. Sekiranya masih belum berkemampuan, boleh dilaksanakan apabila keadaan telah mengizinkan. Seperti selepas memperolehi pekerjaan di masa akan datang.

Selebihnya semoga Allah SWT menerima taubat tuan dan diterima segala usaha bagi memastikan hak-hak orang dikembalikan berlandaskan syarak Islam.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 129

message user image