BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Zaman kini, ramai orang mendapatkan pekerjaan melalui kabel terutamanya bagi sektor kerajaan.

1) Adakah gaji individu yang mendapatkan perkerjaan melalui kabel haram?

2) Dalam sistem pinjaman pelajaran JPA, peminjam diberikan pengecualian pembayaran pinjaman  sekiranya bekerja di sektor kerajaan (manakala peminjam yang tidak bekerja di sektor kerajaan perlu membayar semula pinjaman). 
Adakah halal wang pinjaman yamg dikecualikan sedangkan individu mendapatkan perkerjaan tersebut dengan cara yang haram (iaitu menggunakan kabel)?

 

Syukran.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan tuan:

1.  Mendapatkan pekerjaan menggunakan kabel haram yang melibatkan salah guna kuasa, rasuah, penindasan, ketidakadilan serta kezaliman, bukan sahaja salah dari segi undang-undang serta etika pekerjaan yang menyebabkan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan tatatertib atau sebagainya, ia juga menyalahi syarak dan berdosa. Walaupun gaji yang diterima adalah sah menjadi miliknya atas pekerjaan yang dilakukan, namun dikhuatiri pendapatannya tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

2. Berhubung pengecualian pembayaran pinjaman sekiranya peminjam bekerja di sektor kerajaan, itu adalah hak pemberi pinjaman untuk membuat sebarang syarat atau apa sahaja ketentuan selama ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 153

message user image