BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz......Saya serta keluarga suka beriadah/bermusafir di luar kawasan yg jaraknya melebehi dari 2 marhalah iaitu +- 450km pergi/balik, kdg2 kami bermalam di sana (1 mlm shj) & kdg2 balik pada hari yg sama. Semasa dalam perjalanan/bermusafir & semasa ditmpt riadah kami akan lakukan solat jamak serta qasar. Biasanya kami akan bertolak/meninggalkan rumah utk menuju ketempat2 riadah pada setiap minggu & akan bertolak sekitar jam 4 @ 5am pada setiap pagi hari jumaat tetapi sebelum masuk waktu solat subuh (cuti kami hanya pada hari Jumaat & Sabtu shj). Biasanya setelah meninggalkan rumah kami akan singgah di mana2 masjid (di luar mukim kami) utk solat subuh berjemaah. Soalan saya, adakah saya WAJIB melakukan solat jumaat semasa dlm perjalanan @ semasa ketmpt2 riadah tersebut?. Saya difahamkan & juga dr ceramah di masjid2 & juga ceramah (jamak/Qasar) dlm you tube yg saya ikuti adalah TIDAK WAJIB, kalau sekiranya meninggalkan @ keluar dari rumah sebelum masuk waktu subuh, tetapi tidak pula dinyatakan kpd yg bermusafir iaitu keluar pada setiap pagi hari jumaat...Kalau dikira, saya sudah meninggalkan solat jumaat utk (aktiviti riadah/rehat minda) ini sudah melebehi dari 3 kali..Mohon Ustaz tolong beri penjelasan/pencerahan mengenai soalan saya ini, terima kasih...Wassalam


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Solat jamak dan qasar boleh dilaksanakan sebaik permusafiran bermula dengan jarak dua marhalah atau lebih dengan tujuan bermusafir yang diharuskan bukan bertujuan maksiat. Menurut mazhab Syafi'i, orang bermusafir yang memulakan permusafiran sebelum masuk waktu solat fardu Subuh diberi kelonggaran atau rukhsah untuk tidak menunaikan solat fardu Jumaat, sebaliknya wajib menunaikan solat fardu Zohor sahaja. Namun jika dia keluar selepas masuk waktu solat fardu Subuh, maka dia wajib menunaikan solat fardu Jumaat. 

Dalam situasi yang diberikan di dalam soalan, anda dan keluarga tidak wajib menunaikan solat fardu Jumaat kerana anda telah memulakan permusafiran sebelum masuk waktu solat fardu Subuh.

Manakala berkaitan meninggalkan Jumaat sebanyak tiga kali ia merupakan peringatan daripada Rasulullah SAW iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-Ja’d al-Dhamri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci mati hatinya. (Riwayat Abu Daud)

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdillah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati hatinya. (Riwayat Al-Nasa’i)

Berdasarkan daripada dua potong hadis di atas dapat disimpulkan bahawa ancaman meninggalkan solat fardu Jumaat adalah ke atas orang yang dengan sengaja dan tanpa alasan yang diharuskan oleh syarak. Semoga dengan niat yang betul anda dan keluarga tidaklah berniat untuk meninggalkan solat fardu Jumaat dengan sengaja tanpa sebab yang diharuskan oleh syarak. Tetapi adalah dinasihatkan jika tempat yang dituju itu terdapat masjid yang mendirikan solat Jumaat maka dirikanlah solat Jumaat kerana padanya terdapat nasihat dan peringatan yang disampaikan oleh khatib sekalipun anda mendapat kelonggaran untuk tidak menunaikan solat fardu Jumaat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 264

message user image