Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t, Ustaz/Ustazah/Tuan/Puan,
Saya mempunyai aset kripto yang telah diperoleh sebelum tahun 2020, jadi adakah boleh memperoleh & menggunakan keuntungan penjualan semula aset tersebut pada masa kini kerana nilai mata wang kripto yg telah berubah berdasarkan harga semasa. Mohon pencerahan & pandangan. Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan; pemilikan dan transaksi aset mata wang kripto (Cryptocurrency) adalah harus. Hal ini berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-4/2021 yang bersidang pada 8 Muharram 1443H bersamaan 17 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa:-
Harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang kripto sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:
a) Urus niaga melibatkan mata wang kripto hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang kripto berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;
b) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:
i. Jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang kripto;
ii. Perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang kripto dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;
iii. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang kripto berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan
iv. Undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang kripto.
c) Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang kripto hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب