BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

salam. saya ingin bertanya tentang status perkahwinan saya.. beberapa tahun dahulu saya pernah meminta untuk suami bersumpah akan jatuh talak sekiranya dia curang dengan saya.. dan seingat saya suami hanya menyebut hurmm sahaja.. harini saya bertanya kembali kepada suami tentang itu.. dan suami tidak ingat akan hal itu.. suami berkata seingat dia sepanjang perkahwinan kami dia tak pernah berniat atau melafazkan talak kepada saya.. apa pendapat tuan?jatuh juga ke talak tu walaupun dia tak ingat?terima kasih.. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terdapat dua jenis talak berdasarkan kepada kejelasan lafaz yang diucapkan oleh suami. Pertama: talak sarih (jelas), dan kedua: talak kinayah (tidak jelas). Talak sarih, seperti ucapan suami kepada isteri: "Aku ceraikan engkau", maka talak akan berlaku walaupun tanpa niat, walaupun suami hanya bergurau senda. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ جَدُّهُنَّ جَدٌّ، وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِّكَاحُ، وَالطَّلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).

Talak kinayah (tidak jelas) pula, seperti ucapan suami kepada isteri: "Antara kita tidak ada hubungan lagi", maka ia bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Merujuk kepada persoalan permintaan puan kepada suami untuk bersumpah sekiranya dia curang maka jatuh talak, lalu suami hanya menyebut hurmm. Ia merupakan talak taklik, iaitu mengaitkan berlaku talak jika suami curang, yang dinyatakan secara kinayah (tidak jelas)Oleh itu, ia perlu dirujuk kepada sahib al-kalam iaitu suami puan. Kalau suami puan mengatakan hurmm dengan niat talak atau cerai jika dia curang, maka talak taklik berlaku. Seandainya suami puan curang, maka talak berlaku. Namun sekiranya suami puan mengatakan hurmm dengan niat yang selainnya seperti hurmm nanti saya fikirkan atau sebagainya, maka talak taklik tidak berlaku. 

Walaubagaimana pun, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka puan atau suami hendaklah merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.

والله أعلم بالصواب
 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 136

message user image