Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum pihak mufti selangor.
Saya ada masalah yang telah lama membelenggu diri saya. Mohon pencerahan.
Sebelum ini anjing telah tidur dan duduk atas simen berbumbung (parking motor) rumah saya, tapi saya tak buat sertu atas kawasan tersebut. Setelah beberapa ketika baru saya melakukan sertu atas kawasan tersebut. Sebelum saya sertu kawasan tersebut, setiap hari saya mengunakanya seperti keluar masuk rumah, keluar masuk kereta dan sebagainya.
Persoalan saya (sebelum melakukan sertu) adakah najis tersebut telah berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain mengikut tapak kasut saya? Jika ia, bagaimana pula dengan karpet didalam kereta saya? Anak2 berpijak dan telah berbaring diatas karpet tersebut. Bagaimana pula dengan pakaian yang digunakan?
Perkara2 berikut telah membuatkan saya berasa tidak tenang, adakah ibadah saya diterima sekiranya najis tersebut melekat pada saya sekeluarga.
Mohon semoga pihak mufti dapat rungkaikan permasalahan saya..aminn
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah fiqh:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).
Oleh itu, berdasarkan kepada pernyataan dan persoalan tuan yang terlihat seekor anjing telah baring dan duduk atas simen berbumbung (parking motor) rumah tuan, jika jelas terbukti tempat tertentu terkena najis mughallazah, seperti terdapat ain najis, maka hanya tempat yang terdapat najis itu sahaja yang perlu disertu selepas dihilangkan ain najis tersebut. Jika tiada najis anjing di kawasan tersebut, maka tempat tersebut tidak perlu disertu. Disebabkan itu, tidak berlaku perpindahan najis di merata tempat.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.