Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualikum Ustaz,
Saya ingin bertanya tentang status pemberian rumah daripada ayah.
Untuk makluman Ustaz, saya adalah anak bongsu daripada 10 beradik, beza umur saya dengan kakak yang sulung hampir 30 tahun dan beza umur saya dengan kakak (anak no. 9) hampir 10 tahun.
Sebelum ayah meninggal semua adik beradik saya sudah berumah tangga dan masing masing mempunyai rumah sendiri kecuali saya (bujang) yang baru habis belajar and baru mula berkerja.
Ayah telah memberitahu adik beradik saya yang dia memberikan rumahnya kepada saya sekitar tahun 2000 dan pada masa itu tidak ada seorang pun yang menentang dan ada juga yang setuju. Selepas itu geran rumah ditukar keatas nama saya.
Ayah meninggal pada tahun 2002 dan saya telah berpindah kebandar lain atas urusan kerja.
Pada masa ini (setelah 20 tahun), pihak kerajaan berhasrat untuk mengambil kawasan rumah dan tanah untuk membangunkan projek kerajaan. Saya diberi pilihan samada untuk mengambil wang pampasan atau berpindah ke tempat penempatan yang baru.
Setelah mendengar hasrat kerajaan memberi wang pampasan, adik beradik saya hendak menuntut hak mereka.
Saya tidak pasti samada pemberian rumah daripada ayah itu adalah secara hibah atau bukan.
Mohon minta penjelasan daripada Ustaz.
Terima Kasih dan Jazakallah kheir.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya hibah adalah suatu akad pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan. Dalam situasi yang disebutkan oleh pihak puan, ianya kelihatan menepati definisi hibah yang telah disebutkan. Antara proses penting dalam hibah adalah qabd iaitu proses terimaan harta yang dihibahkan oleh pemilik harta kepada orang yang ingin dihibahkan harta tersebut, dan perkara tersebut telah dilaksanakan oleh ayah puan ketika hidup iaitu dengan membuat pertukaran nama di geran tanah kepada nama puan.
Seandainya apa yang puan nyatakan itu benar, dan pemberian itu berlaku semasa ayah puan masih hidup, maka rumah itu adalah hibah daripada ayah kepada puan dan ia bukan lagi menjadi harta pusaka ayah. Namun, puan mempunyai budi bicara untuk memberi sebahagian daripada pampasan tersebut kepada adik-beradik yang lain sebagai ihsan daripada pihak puan.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.