Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.
Apakah hukumnya seorang isteri yg secara sengaja merakam perbualan telefon dgn suami bercakap hal2 yg tidak sepatutnya (hal2 ditempat tidur) kemudian menghantar rakaman perbualan itu kepada madunya(isteri muda)?
Kejadian itu menimpa saya (isteri muda) walaupun telah lama berlalu (hampir 4tahun) tapi saya tidak dapat melupakan dan masih terngiang2 ditelinga perbualan mereka (lebih kurang 1jam) sungguh menjijikkan.
Adakah saya berdosa kerana tidak dapat memaafkan mereka terutama madu saya kerana dia yg merancang unt merekod tanpa pengetahuan si suami. Niat dan tujuan dia hanya Allah yg tahu. Bukan itu saja suami saya juga telah berkata jika saya mendengar lagi rakaman itu maka jatuhlah talak ke atas saya! Saya yg tidak bersalah akan menerima hukum an tapi si pesalah bebas, tiada keadilan buat saya.
Adakah jatuh talak sekiranya saya mendengar rakaman yg masih tersimpan dalam telefon bimbit saya?
Setelah kejadian itu saya berdoa semoga Allah turunkan bala buat dia dan saya tidak redha jika duit hasil pencarian saya diberi kepada dia walau dalam bentuk apa sekali pun. Tapi kini suami saya bekerja dgn saya, bagaimana ye ustaz?
Adakah saya berdosa kerana mendoakan keburukan buat dia diatas perbuatannya?
Mohon jawapan dari ustaz.
Terima kasih. Assalamualaikum.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Hukum isteri yang sengaja merakam perbualan telefon dengan suaminya berkaitan hal-hal hubungan kelamin atau hubungan seksual kemudian menghantar rakaman perbualan itu kepada madunya (isteri muda) adalah merupakan perbuatan dosa dan tidak dibenarkan dalam Islam. Ini kerana hal demikian merupakan lambang rendah akhlak, kehinaan, dan menjatuhkan maruah, maka ia tidak benarkan sekalipun kalau pasangan itu tahu atau redha dengan perbuatannya tersebut.
Sewajarnya seseorang itu, sama ada suami atau isteri, harus malu apabila mendengar rakaman percakapan yang berunsur lucah dan perkara yang sangat peribadi itu. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
Maksudnya: Iman itu enam puluh lebih cabang, dan sifat malu itu salah satu cabang daripada Iman. (Riwayat al-Bukhari)
Ertinya, hendaklah suami dan isteri berasa malu untuk melakukan perkara yang buruk atau mendedahkan kepada orang lain hal-hal dalam hubungan kelamin mereka sekalipun antara isteri-isteri dan suami itu mereka saling meredhai perbuatan itu.
2. Lafaz suami puan: "Jika engkau mendengar lagi rakaman itu maka jatuhlah talak ke atas puan." Kalau benar lafaz itu diungkapkan, maka lafaz tersebut termasuk dalam cerai secara taklik. Talak Taklik bermaksud: menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa, perkara atau perbuatan, sama perbuatan itu perbuatan suami, isteri atau orang lain. Sekiranya perkara atau perbuatan seperti mana yang dinyatakan di dalam lafaz taklik tersebut berlaku, maka penceraian terjadi. Namun, pengesahan perceraian merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Jika berlaku pelanggaran lafaz taklik, hendaklah diadukan kepada pihak Mahkamah Syariah yang berdekatan dengan kadar segera.
3. Islam mengajar dan menggalakkan agar umatnya senantiasa memaafkan kesalahan orang lain. Allah SWT sebagaimana yang kita ketahui mempunyai sifat pemaaf terhadap hamba-hamba-Nya, ia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 60:
إنَّ اللهَ لَعَفُوٌّ غَفُوْرٌ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.
Di samping itu, Rasulullah SAW menegaskan betapa orang yang pemaaf itu akan dikurniakan kemuliaan oleh Allah SWT sebagaimana hadis dari Abu Hurairah RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زادَ اللهُ عَبْداً بعَفْوٍ إِلاَّ عِزّاً، وَمَا تَوَاضَعَ أحَدٌ للهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللهُ
Maksudnya: Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya,) kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat), serta tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah kecuali Dia akan meninggikan (darjat)nya (di dunia dan akhirat). (Riwayat Muslim).
4. Persoalan puan tentang hukum mendoakan keburukan suami pula, secara asasnya, Islam sangat melarang kita untuk mendoakan keburukan untuk orang lain.
Rasulullah SAW juga ada menyebutkan dalam hadis baginda tentang kelebihan kita mendoakan kebaikan pada orang lain tanpa pengetahuannya, maka Allah akan mengkabulkan doanya dan kebaikan untuk dirinya juga. Ini sebagaiman hadis daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: "Amin" dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu). (Riwayat Muslim).
Oleh yang demikian, jika mendoakan keburukan kepada orang lain maka dikhuatiri keburukan itu akan terkena kepada diri sendiri.
5. Adapun dalam isu puan tidak redha jika duit hasil pencarian puan diberi kepada suami walau dalam bentuk apa sekali pun sedangkan kini suami puan bekerja dengan puan. Dalam isu ini, tidak timbul puan memberikan hasil pencarian puan kepada suami puan kerana dia bekerja dengan puan dan mendapat upah atau gaji atas kerjanya tersebut.
والله أعلم بالصواب