Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Dato’. Mohon bertanya berkenaan solat jamak dan qasar.
Saya dan isteri merupakan pasangan PJJ Selangor dan Johor. Saya di Selangor dan anak, isteri di Johor. Saya telah membeli rumah di Selangor. Pada kebiasaanya saya akan balik ke Johor selepas 4hari bekerja di Selangor. Dan tinggal di Johor kurang dari 3hari.
Soalannya adakah boleh saya melakukan solat jamak dan qasar sepanjang saya di Johor?
Sebelum pertanyaan ini, sekiranya saya balik ke Johor saya melakukan solat jamak dan qasar. Jika tidak cukup syarat untuk melakukan jamak dan qasar ni, adakah saya perlu qada solat-solat saya sebelum ni?
Terima kasih Dato'.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Sekiranya tuan telah memilih untuk menetap (bermastautin) di Selangor, maka jika balik ke Johor tuan boleh solat jamak dan qasar di sana dengan syarat tidak berniat untuk tinggal lebih dari 3 hari tidak termasuk hari sampai dan hari keluar. Tetapi jika tuan memilih untuk menetap di Johor, maka tuan tidak boleh solat jamak dan qasar di Johor kerana dikira pulang ke kariah sendiri. Oleh itu, tuan perlu memilih di mana tempat untuk tinggal tetap (bermastautin) dan bermukim.
Bagi mereka yang menunaikan solat secara jamak dan qasar sedangkan dia tidak mendapat rukhsah atau kelonggaran untuk berbuat demilkian, maka solatnya perlu diqada.
والله أعلم بالصواب