Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya nak tanya satu soapan, jika seseorang tu meninggal dunia dan belum membuat haji, wajib ke kita sebagai waris membuat badal haji untuk si mati sedangkan waris juga ada hutang dengan manusia.
Mohon pencerahan darj tuan, sekian.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Ibadah Haji merupakan rukun Islam kelima dan menjadi ibadah wajib bagi seseorang muslim yang berkemampuan seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran ayat 97:
وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَیۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَیۡهِ سَبِیلࣰاۚ
Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.
Haji dan umrah adalah wajib sekali seumur hidup bagi individu Muslim apabila memenuhi syarat wajib haji atau umrah iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka, aman perjalanan dan berkemampuan. Istilah kemampuan dijelaskan dalam kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Durar Al-Siniyyah sebagai berkeupayaan untuk melakukan sesuatu dan mampu untuk melakukannya. Kemampuan dikategorikan sebagai dua keadaan iaitu (1) Berkemampuan mengerjakan haji atau umrah dengan sendiri (sihat tubuh badan, cukup perbelanjaan untuk musafir, mempunyai kenderaan, aman perjalanan dan nafkah tanggungan) (2) Berkemampuan untuk mewakilkan orang lain melakukan haji atau umrah (sakit yang tiada harapan sembuh, terlalu tua atau uzur).
Merujuk kepada persoalan tuan, jika seseorang itu telah meninggal dunia dalam keadaan belum mengerjakan haji, sedang dia ada meninggalkan harta dan semasa hayatnya berkemampuan untuk melakukannya, maka warisnya wajib melakukan badal haji menggunakan harta peninggalannya. Sekiranya semasa hayatnya, arwah bukanlah individu yang berkemampuan maka tidak wajib untuk badal haji kepadanya. Namun jika waris ingin melaksanakan badal haji bagi pihak arwah adalah harus hukumnya sekiranya waris tersebut berkemampuan.
والله أعلم بالصواب