BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan,saya ingin memohon penjelasan hukum tentang 3 perkara :

1) Hukum saya mencari barang milik peribadi saya yang hilang didalam masjid atau surau dengan  cara :

a)saya memohon pertolongan daripada pihak ajk masjid atau surau mengumumkannya kepada jemaah , adakah perbuatan saya ini dilarang didalam agama kita

b)saya secara peribadi meminta tolong daripada mana mana jemaah yang ada untuk sama sama mencari barang peribadi saya yang hilang itu adakah perbuatan saya ini dilarang didalam agama kita

2) Saya ingin tahu Maksud Larangan melakukan jual beli didalam Masjid atau surau,adakah larangan ini hanya tertakluk dikawasan dewan solat atau seluruh kawasan surau dan masjid

3)Hukum mengiklankan barangan jualan seperti kitab,produk takaful,produk wasiat,madu kelulut yang dibuat didalam dewan solat di masjid atau surau adakah dibolehkan  

Pencerahan Tuan saya dahulukan ucapan terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

 

Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

1)

a. Mencari barangan yang hilang di dalam masjid dengan cara mewar-warkan di dalam masjid adalah dilarang di dalam Islam. Hal ini dijelaskan menerusi hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ رَجُلًا يَنْشُدُ ضَالَّةً فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَقُلْ لَا رَدَّهَا اللهُ عَلَيْكَ فَإِنَّ الْمَسَاجِدَ لَمْ تُبْنَ لِهَذَا

Maksudnya: Barangsiapa yang mendengar seorang lelaki meminta-minta barangnya yang hilang di masjid, maka katakanlah kepadanya,"Semoga Allah tidak memulangkan barang itu kepada-Mu." Ini kerana sesungguhnya masjid-masjid itu tidak dibina atas tujuan ini. (Riwayat Muslim)

Maka dalam permasalahan ini, dicadangkan agar tuan mengemukakan makluman kehilangan barang secara bertulis dan memaklumkan kepada ahli jawatankuasa masjid supaya ia dapat disampaikan secara bertulis di papan kenyataan yang telah tersedia.  

b. Adapun meminta tolong secara peribadi kepada mana-mana jemaah untuk mencari barang yang hilang di dalam masjid adalah tidak dilarang.

2) Jual beli di dalam kawasan masjid secara umumnya adalah dilarang, Namun begitu, ia dibenarkan sekiranya dilakukan selain daripada tempat yang tidak mengganggu ruang utama solat seperti seperti kawasan tempat letak kereta serta ruangan-ruangan yang dibina khas untuk tujuan selain daripada mengerjakan solat. Hal ini kerana ruangan-ruangan tersebut terkeluar daripada kawasan yang diiktibar sebagai batas suci masjid. Dalam masa yang sama, urusniaga yang belaku di kawasan sekitar masjid perlu menghormati waktu solat sehingga tidak melalaikan para jemaah yang hadir ke masjid.

3) Mengiklankan barangan jualan di dalam masjid adalah perbuatan yang tidak digalakkan kerana masjid bukanlah dijadikan sebagai tempat dagangan sebaliknya ia merupakan tempat yang perlu diimarahkan dengan penuh ketaatan. Namun seandainya pihak masjid ada menyediakan ruangan khas iklan, di luar ruang solat, maka ia diharuskan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 270

message user image