BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Soalan saya berkaitan dengan akikah anak saya yang berumur 2 tahun stgh.

Saya baru kematian suami dan Arwah suami tidak sempat untuk melaksanakan akikah untuk anak saya. Datuk dan nenek (sebelah arwah suami) telah melaksanakan akikah untuk anak saya tanpa pengetahuan saya atau meminta izin saya. 

Dan hakikat sebenarnya saya masih mampu untuk laksanakan akikah anak saya. 

Soalan saya:

Adakah akikah itu sah? 

Bolehkah saya lakukan akikah yang lain untuk anak saya tersebut?

Terima kasih 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Melaksanakan akikah dalam Islam untuk anak yang baru dilahirkan adalah sunat muakkadah iaitu amalan yang sangat-sangat digalakkan dalam Islam. Oleh itu  ibu bapa yang berkemampuan hendaklah melaksanakannya untuk menghidupkan sunah Rasulullah SAW ini. 

 Daripada Samurah RA, Nabi SAW bersabda:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Penyembelihan akikah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya. (Riwayat al-Bukhari)

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, adalah dibolehkan bagi seorang datuk atau nenek untuk melaksanakan akikah cucu mereka sebagaimana Rasulullah SAW melaksanakan akikah ke atas Hassan dan Hussin. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah dari bapanya beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan sembelihan akikah ke atas Hasan dan juga Husin.

Akikah yang dilaksanakan oleh datuk tanpa keizinan tetap dikira sah. Walau bagaimanapun, adalah lebih afdhal sekiranya mendapat keizinan ayah dan ibu bayi tersebut terlebih dahulu.

Manakala merujuk kepada soalan kedua, tidak menjadi halangan melaksanakan akikah bagi kali kedua untuk anak puan sekiranya berkemampuan.

والله أعلم بالصواب 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 105

message user image