BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti,

 

Saya suami kepada isteri yang bekerja dengan salah satu Hospital Kerajaan di Kuala Lumpur. Setiap tahun beliau perlu menghadiri Kursus Kerja selama 2 atau 3 hari di tempat yang ditetapkan. Kursus ini lebih kepada program Team Building yang mana setiap aktiviti perlu dibuat bersama-sama antara peserta lelaki dan perempuan. Masalahnya ada aktiviti yang dilaksanakan akan terjadi persentuhan fizikal antara semasa mereka disebabkan aktiviti itu sendiri yang memerlukan setiap peserta bercampur baur dan rapat. Aktiviti di dalam kolam atau sungai juga dilakukan bersama sesama mereka semasa berada di dalam air, ini pastinya mendedahkan aurat wanita apabila pakaian basah. Selain itu aktiviti persembahan pada waktu malam pula ada yang melibatkan tarian dan nyanyian di atas pentas campur lelaki wanita.

 

Mohon pencerahan dan Jawapan, apa yang sepatutnya saya sebagai suami lakukan.

 

Sekian Terima Kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersentuhan fizikal antara lelaki dan wanita hanya diharuskan ketika darurat sekadar keperluan sahaja seperti ketika tugasan menyelamat mangsa kemalangan, rawatan dan seumpamanya. Adapun dalam aktiviti latihan berkumpulan seperti team building atau sukan, pihak penganjur perlu mengelak daripada mengadakan aktiviti bersentuhan antara lelaki dan wanita dan mendedahkan aurat. Aktiviti tarian dan nyanyian yang mendorong kepada pencampuran lelaki dan wanita juga perli dielakkan kecuali dengan pengasingan di atas pentas serta lagu yang tidak melalaikan. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada sekumpulan sahabat wanita hendak berbai'ah dengannya;

 إني لا أصافحُ النساءَ

Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita. (Riwayat al-Nasai'i).

Bersentuhan antara lelaki dan wanita bukan mahram tanpa sebab yang dibenarkan syarak adalah dilarang. Sebagai suami, tuan boleh mencadangkan kepada pihak pengurusan tempat kerja isteri tuan untuk hanya mengadakan aktiviti yang baik dan patuh syarak. Jika cadangan tidak dilayan tuan boleh menghalang isteri terlibat dengan aktiviti tersebut.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 145

message user image