BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ustaz. Jika seorang isteri sudah mandi wajib selepas habis haid, sebelum mandi wajib isteri sudah seluk dengan kain untuk pastikan tiada darah lagi. Keesokkannya ada keluar tompokan darah, jadi isteri belum mandi wajib untuk kali kedua kerana tidak pasti samada itu darah haid atau tidak. Lalu berjima bersama suami. Adakah suami perlu membayar kaffarah? Jika perlu bayar, boleh atau tidak ditangguhkan bayaran kaffarah sehingga ada duit?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Untuk memastikan bahawa darah tersebut haid atau pun bukan, seandainya darah tersebut keluar dalam tempoh 15 dari iaitu tempoh maksimum haid, maka ia adalah darah haid. Namun jika darah keluar melebihi tempoh maksimum haid 15 hari, maka ia adalah darah istihadah.

Adalah menjadi kewajipan memastikan isteri di dalam keadaan suci sebelum melakukan hubungan kelamin. Ini adalah kerana hukum melakukan hubungan kelamin semasa haid atau sebelum mandi wajib setelah habis haid adalah haram. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222:

وَیَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡمَحِیضِۖ قُلۡ هُوَ أَذࣰى فَٱعۡتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَاۤءَ فِی ٱلۡمَحِیضِ وَلَا تَقۡرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ یَطۡهُرۡنَۖ فَإِذَا تَطَهَّرۡنَ فَأۡتُوهُنَّ مِنۡ حَیۡثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلتَّوَّ ٰ⁠بِینَ وَیُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِینَ   

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Walaupun melakukan hubungan kelamin sebelum mandi wajib adalah haram dan berdosa, namun ia tidak dikenakan kaffarah di dalam mazhab Syafi'i.  

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 122

message user image