Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..saya mempunyai sebuah premis kedai untuk disewa. Ada individu bukan islam ingin menyewa kedai saya untuk dijadikan kedai makan. Bolehkan saya memberi sewa kerana pada asasnya kita tahun kedai makan bukan islam sudah tentu ada makanan seperti khinzir atau arak. Atau kita tidak perlu ambil tahu apa yang diniagakan oleh penyewa dan memberi sewa kepada beliau. Haram atau tidak pendapatan sewaan tersebut.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Menyewakan premis kedai kepada orang bukan Islam secara umumnya adalah diharuskan, namun dalam keadaan seorang pemilik muslim mengetahui wujud aktiviti yang bertentangan dengan syarak seperti penjualan atau menghidangkan arak maka sebaiknya tidak menyewakan kepada orang yang diketahui akan melakukan aktiviti yang bertentangan dengan syarak atau undang-undang yang berkuatkuasa kerana dalam keadaan itu pemilik akan dikira sebagai bersubahat. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyatakan bahawa "Jangan sebahagian daripada kalian membantu sebahagian yang lain dalam perkara dosa yakni meninggalkan apa yang Allah perintah agar melakukannya dan jangan melampaui batas terhadap apa yang Allah telah tetapkan untuk kalian pada hal agama, dan apa yang telah Dia fardhukan bagi diri-diri kalian dan selain kalian".
Kaedah fiqh juga ada menyebutkan:
Maksudnya: Menolong atas perlakuan maksiat ialah maksiat.
Oleh itu, adalah dinasihatkan agar tidak menyewakan premis kepada mana-mana orang baik muslim mahupun bukan yang diketahui akan menggunakan premis tersebut untuk perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.
Sekian, terima kasih.