BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya telah akil baligh dan normal sbg manusia. Saya ada menerima hadiah berupa patung teddy bear besar. Cukup lengkap. Sblm ini, sy tidak pernah menyimpan atau membeli permainan ataupun patung-patung seperti ini. Jdi klau sy berniat utk menyimpan teddy bear tersebut sbg menghargai pemberian, tidak memuja dan hanya meletakkannya didalam bilik. Adakah ianya salah dan sy berdosa. Kerana sy pernah mendengar yg malaikat tidak akn masuk ke rumah2 yg ada perkara seperti ini. Dan apa yg sy dengar dri penjelasan dri beberapa ustaz, ianya adalah haram. Mohon sudi memberi penjelasan. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan hadis Nabi SAW: 

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Imam al-Nawawi berkata: Menurut para ulama’, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar patung. Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar patung itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT. Manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut dijadikan sembahan.

Oleh itu malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak melakukan solat di dalamnya, tidak meminta keampunan bagi penghuninya, tidak memohon keberkatan seterusnya tidak melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan.

Merujuk kepada persoalan puan, dengan menyimpan teddy bear sebagai menghargai pemberian daripada seseorang adalah dibolehkan selagimana patung tersebut tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati atau bertujuan untuk disembah atau dipuja. Akan tetapi sekiranya patung berkenaan digunakan sebagai bahan pujaan, atau diletakkan di tempat yang dihormati sehingga membawa kepada penyucian, maka jelas perkara tersebut haram dan dilarang sama sekali. 

Walau bagaimanapun, adalah disarankan supaya dielakkan penggunaan atau penyimpanan patung seperti teddy bear tersebut agar tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya bagi mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah (adalah lebih baik dan selamat).

Hadis daripada  Al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: Barangsiapa yang menjaga daripada perkara syubhah maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara haram. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 212

message user image