BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya sekarang bekerja sebagai jurutera perisian (Software Engineer) di bawah syarikat yang menyediakan servis pembangunan perisian untuk syarikat insurans. Projek yang saya terlibat sekarang menyediakan khidmat pembangunan, penyelenggaraan & penambahbaikan kepada portal-portal insurans syarikat yang bernama Great Eastern. Ada 3 portal insurans syarikat tersebut yang kami dipertanggungjawabkan, iaitu Portal Insurans Singapura, Portal Insurans Malaysia & Portal Insurans Takaful. Baru-baru ini saya diberitahu bahawa insurans jenis konvensional adalah haram. Jadi soalan saya, haramkan perkerjaan saya? Wajibkah saya mencari kerja lain?

Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Insurans konvensional adalah suatu muamalat yang diharamkan menurut syarak kerana ia bercanggah dengan beberapa  prinsip Islam sebagaimana yang diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun 2011/ 12 Rajab 1432H. Antara unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip asas jual beli dalam Islam adalah unsur riba, perjudian dan gharar (ketidaktentuan).

Adapun bekerja sebagai jurutera perisian di dalam sebuah syarikat software yang menyediakan perkhidmatan membangunkan perisian untuk syarikat insuran adalah diharuskan. Ini kerana pekerjaan tersebut tidak terlibat secara langsung urusan atau aktiviti penjualan kontrak insurans konvensional kepada pelanggan. Tuan ditugaskan oleh syarikat tuan untuk membangunkan perisian tersebut, sedangkan yang berurusan dengan syarikat insurans konvensional tersebut adalah pihak syarikat tuan. Tuan bekerja ia dilihat seperti pekerjaan-pekerjaan lain dalam institusi konvensional yang tidak terlibat secara langsung kontrak tersebut seperti pengawal keselamatan, petugas pembersihan dan lain-lain. Namun jika tuan mempunyai pilihan untuk mengendalikan perisian lain yang lebih jelas kehalalannya dan lebih menenangkan jiwa tuan sebagai seorang muslim maka itulah yang terbaik 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 140

message user image