BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada kemusykilan 

 

1. Kalau mandi wajib banyak kali disebabkan was was, adakah mandi wajib itu sah walaupun dilakukan banyak kali.

 

2. Kalau sebelum mandi wajib, tangan, muka dan anggota badan lain ada kesan Kotor atau ubat sapu, saya tak menanggalkan kesan Kotor/ubat sapu itu sebelum mandi wajib. Tetapi, saya menanggalkan kesan Kotor/ubat sapu semasa sedang mandi wajib. Adakah mandi wajib saya sah sbb saya menanggalkan kesan itu ketika sedang mandi wajib. Atau, memang wajib menanggalkan kesan kotor/ubat sapu sebelum mandi wajib, dan sekiranya menanggalkan kesan itu ketika sedang mandi wajib menjadikan mandi wajib tidak sah. Keadaan yang mana satukah yang sah, atau kedua dua keadaan menjadikan mandi wajib sah.

 

3. Saya mengalami was was yang serius, saya dah mandi wajib 4 kali dlm bulan ini disebabkan was was. Disebabkan saya selalu mengalami bebanan was was, saya sehingga mengatakan " lantaklah mandi wajib ini sah atau x" saya juga mengatakan, "kalau saya tiada air Mani, saya x perlu mandi wajib, dan saya juga tak akan kena was was setelah selesai mandi wajib", saya juga mengatakan " aku benci kahwin, sbb nanti akan kena was was setelah selesai mandi wajib juga". Saya takut kalau saya ucapkan kata kata yang lebih ekstrem. Adakah kata kata saya itu menjejaskan keimanan dan keislaman saya.

 

4. Saya was was, jadi saya sambung semula mandi wajib hanya pada bahagian yang saya rasa tak kena pada waktu Subuh, sebelum waktu Subuh itu, saya ada sapukan sedikit krim anti jerawat OXY 10 pada muka dan saya tidur, ketika waktu Subuh, saya pun sambung mandi wajib pada bahagian muka yg saya rasa x digosok. Selepas sehari, saya teringat, adakah sebelum saya sambung mandi wajib itu saya telah basuh muka untuk menanggalkan kesan ubat sapu, atau saya memang x basuh muka untuk tanggalkan kesan ubat sapu dan saya terus sambung mandi wajib, saya terus sambung mandi wajib dan gosokkan pada bahagian muka ketika sambung mandi wajib. Saya tak pasti keadaan mana satukah yg saya lakukan. Kalau sebelum sambung mandi wajib, saya tak bersihkan kesan ubat sapu tu, adakah sambung mandi wajib saya sah sebab saya gosokkan bahagian muka yg disapu ubat sapu ketika sedang sambung mandi wajib. Dalam rukun mandi wajib menyatakan menghilangkam terlebih dahulu kesan sebelum mandi wajib. Adakah itu sudah dikira menanggalkan sebarang kesan pada badan yang dinyatakan dalam rukun mandi wajib walaupun saya menanggalkan kesan ubat sapu itu ketika sedang sambung mandi wajib. Atau kesan ubat sapu itu x perlu ditanggakkan sbb dah meresap ke dalam kulit dan dah kering pada kulit. Jikalau pada hujung kemaluan ada kesan air kencing sbb air kencing keluar beberapa titik dan air kencing itu kering. Tetapi saya tak basuh hujung kemaluan sebelum mandi wajib, saya membasuh hujung kemaluan semasa sedang mandi wajib, adakah mandi wajib saya sah sbb saya tak menghilangkan kesan air kencing sebelum mandi wajib sepertimana yg dinyatakan dalam rukun mandi wajib perlu menghilangkan kesan atau najis sebelum mandi wajib walaupun kesan air kencing itu dah kering di hujung kemaluan. Keadaan mana satukah yang betul. Keadaan ini menyebabkan saya was was.

 

5. Saya ada kelemumur yg kadangkala tebal dan berkeping keping, saya juga ada eczema dan ada kulit kering yg terkuping pada jari kaki dan ada kuping kuping kecil. Adakah perkara tersebut menghalang air dari terkena kulit semasa Mandi wajib, dan adakah kudis atau kuping kecil halang air daripada terkena kulit, dan apakah teknik untuk mengetahui kalau satu satu benda itu tak halang air kena kulit.saya sering was was disebabkan masalah ini.

 

6. Berapakah tahap kepersisan dan tahap kepekaan yang perlu dititikberatkan semasa sdg mandi wajib supaya saya tak terkena was was ketika selesai mandi wajib. Saya dah runsing ttg mandi wajib sbb saya selalu was was.

 

7. Semasa Mandi wajib, macam mana nak tahu air dah rata ke seluruh bahagian badan. Saya mandi wajib lama sampai satu jam lebih, bila saya mandi wajib dlm tempoh yang lama takut air x rata ke seluruh badan, saya masih lagi terkena was was dan pembaziran air, bila saya mandi wajib dlm tempoh yang singkat, saya maish lagi terkena was was sbb mandi wajib dlm tempoh singkat mungkin menyebabkan ada bahagian badan yg masih tak rata dan tak digosok tapi tiada pembaziran air. Berapakah tempoh masa yang betul untuk mandi wajib dan macam mana nak tahu yg air dah rata dan digosok ke seluruh badan supaya tak terkena was was. Saya dah buntu dgn was was ini. Kalau mandi wajib saya tak sah, habis semua ibadah yg saya buat puluhan tahun x sah, puasa x sah, semua tak sah, mcm mana dgn puasa yg akan dtg x lama lagi, adakah puasa itu sah atau tak, saya mmg dah tahu nak buat apa supaya x alamai was was ini. Semakin byk saya belajar, semakin kuat was was itu. Saya sangat sangat perlukan bantuan, saya dah amalkan doa dan zikir, tapi was was itu masih kuat. Saya takut sbb was was yang saya alami ini dalam bab ibadah, kalau mandi wajib x sah, semua ibadah x sah. Saya takut kalau ibadah saya x diterima, seluruh kehidupan saya sia sia selama ini. Semoga saya sembuh daripada penyakit was was. 

 

8. Saya mandi wajib agak lama sehingga terlepas waktu solat Subuh. Adakah mandi wajib saya sah sbb saya tak sempat solat Subuh disebabkan mandi wajib yg agak lama.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Soalan pertama:  

Mandi banyak kali disebabkan penyakit was-was merupakan suatu pembaziran yang merugikan serta dibimbangi akan menjerumuskan seseorang ke dalam golongan yang disebut oleh Allah SWT sebagai saudara-saudara syaitan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 27:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan

Walaubagaimanapun mandi wajib itu sah, tetapi ia perbuatan yang membazir dan merugikan.

Soalan kedua:

Syarat mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh anggota badan, maka menanggalkan atau menghilangkan apa-apa yang menghalang air dari mengenai tubuh badan ketika atau sebelum selesai mandi tidak menjadikan mandi itu tidak sah. Oleh itu, perbuatan menghilangkan kesan kotoran atau ubat sapu pada kulit ketika mandi wajib tidak membatalkan mandi wajib serta tidak perlu diulang mandi wajib tersebut.

Soalan ketiga:

Kahwin atau bernikah merupakan sunah Rasulullah SAW ia juga merupakan sebuah ibadah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang beriman sebagai tanda kebesaran Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa RAsulullah SAW telah bersabda:

النِّكَاحُ من سُنَّتِي فمَنْ لمْ يَعْمَلْ بِسُنَّتِي فَليسَ مِنِّي، وتَزَوَّجُوا؛ فإني مُكَاثِرٌ بِكُمُ الأُمَمَ، ومَنْ كان ذَا طَوْلٍ فَلْيَنْكِحْ، ومَنْ لمْ يَجِدْ فَعليهِ بِالصِّيامِ، فإنَّ الصَّوْمَ لهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: Nikah (kahwin) adalah sunahku, barangsiapa yang tidak beramal dengan sunnahku maka bukanlah dari kalangan umatku, berkahwinlah maka sesungguhnya aku amat berbangga dengan jumlah umatku yang ramai, barangsiapa yang berkemampuan makan bernikahlah segera, dan barangsiapa yang tiada kemampuan maka berpuasalah kerana puasa menjadi perisai untuknya. (Riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu, ucapan membenci nikah atau kahwin merupakan ucapan yang berat walau dengan niat apa sekalipun, berusahalah untuk merawat penyakit yang dialami kerana ucapan sebegini mungkin keluar atas rasa putus asa, carilah panduan dan bantuan agar segera dapat keluar dari belenggu was-was. 

Soalan keempat:

Mandi wajib itu sah selagimana proses membasuh dan membersihkan badan masih dalam satu niat mandi wajib yang sama. Tidak kira sama ada yang dibersihkan itu ubat jerawat, kesan kencing atau apa-apa bahan lain yang ada pada kulit. Perbuatan tersebut tidak menjejaskan mandi wajib tersebut.

Soalan kelima:

Kulit yang berkeping-keping, berkuping-kuping  atau kulit yang kering yang tidak terpisah dengan tubuh badan atau jika ditanggalkan akan mengakibatkan sakit atau luka bukanlah bahan asing yang termasuk dalam kategori bahan yang menghalang air. Ia dimaafkan serta tidak menjejaskan mandi wajib. Bahan yang dikategorikan sebagai menghalang air adalah seperti cat, minyak atau apa-apa bahan yang boleh melekat pada kulit serta bahan tersebut tidak meresap air.

Soalan keenam:

Tiada tahap kepersisan yang khusus, contoh terbaik dalam melaksanakan mandi wajib adalah sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa beliau dan Rasulullah SAW mandi wajib bersama:

كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي الْمَاءِ فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلَاثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ  

Maksudnya: Nabi SAW apabila mandi junub, akan memulainya dengan mencuci kedua telapak tangannya. Kemudian Baginda berwudhuk sebagaimana wudhuk untuk solat. Seterusnya Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menggosokkannya ke kulit kepalanya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepalanya dengan kedua telapak tangannya sebanyak tiga kali, kemudian Baginda mengalirkan (meratakan) air ke seluruh tubuhnya. (Riwayat al-Bukhari)

Daripada hadis di atas dapat difahami adalah Rasulullah SAW mandi wajib dengan munggunakan air yang sangat minima dan disebut dalam riwayat yang lain disebutkan Raslulullah SAW dan isterinya berkongsi bekas air yang sama untuk mandi wajib. Apa yang penting bagi kita adalah meyakini air telah pun terkena pada seluruh kulit dengan mengggunakan air yang minima. 

Soalan ketujuh:

Tiada tempoh khusus untuk meratakan air ke seluruh anggota badan, jika dilihat kepada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA yang telah disebutkan di atas Rasulullah SAW mandi dalam tempoh yang singkat dengan penggunaan air yang sangat minima, mandi dalam waktu yang lama tidak akan membantu menyelesaikan masalah was-was yang berlaku. Oleh itu, singkatkan waktu mandi dan yakinlah bahawa air telah dilalukan keseluruh anggota badan dan abaikan was-was yang berlaku. Air bersifat cecair yang secara semulajadi akan merata keseluruh anggota sebaik disiram dari kepala, disebabkan sifatnya mengalir maka Rasulullah SAW hanya menyiram beberapa kali shaja untuk meratakan air ke seluruh badan Baginda selepas mengambil wuduk sepertimana wuduk untuk bersolat.

Soalan kelapan:

Mandi wajib itu sah. Namun berdosa kerana meninggalkan solat Subuh.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 1615

message user image