Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya kini berhutang bank dengan kaedah konvensional. Saya tak berapa faham konsep hutang konvensional dan syariah, membuatkan saya tersilap langkah berhutang dengan kaedah riba.
Soalan saya, memandangkan saya tiada simpanan yang cukup untuk selesaikan hutang riba ini secepat mungkin, adakah perlu/wajib saya mohon pinjaman syariah hanya untuk membayar terus hutang konvensional saya? Risau kematian datang awal sebelum saya dapat selesaikan dosa hutang yang nabi isytihar perang.
Terima kasih..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Islam merupakan agama yang praktikal dalam setiap keadaan, bagi setiap masalah yang dihadapi pasti ada jalan penyelesaiannya dalam Islam. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah bertaubat atas kesilapan yang telah dilakukan, berusaha agar tidak mengulanginya lagi di masa hadapan di samping menyesal dan membenci perbuatan yang telah dilakukan. Seterusnya jika mampu untuk menyelesaikan lebih awal hutang konvensional tersebut dengan membuat pembiayaan syariah atau dengan apa kaedah lain yang bertepatan dengan syariah itulah yang sewajarnya. Melepaskan diri dari perkara yang dilarang menurut syarak adalah suatu tuntutan yang perlu disegerakan. Namun dalam keadaan tiada kemampuan maka teruskanlah bayaran seperti biasa sehingga selesai tanpa meredhai perbuatan tersebut. Cubalah berbincang dengan mereka yang pakar dalam bidang kewangan berkaitan perkara ini agar keputusan yang dibuat kelak tidak menjejaskan kehidupan seharian kelak. Kerana firman Allah SWT dalam surah al-Nahlu ayat 43:
Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.
Amat penting untuk bertanya kepada mereka yang pakar dalam bidangnya sebelum membuat apa-apa keputusan. Semoga Allah memberi jalan keluar atas setiap kesulitan yang dihadapi.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.