BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan,

Di sini saya ingin bertanyakan soalan mengenai tanggungan kewajipan bagi suami terhadap isteri yang bekerja. Buat pengetahuan tuan, saya ada menyediakan perbelanjaan kewangan di setiap bulan untuk isteri saya bagi tujuan bayaran sewa rumah, pembayaran bil-bil utiliti rumah, pembelian barang-barang keperluan dapur dan pembelian keperluan barangan rumah. 

Mengikut perkiraan saya jumlah kewangan yang saya berikan bagi tujuan perbelanjaan atau nafkah yang saya berikan kepada isteri saya mencukupi dan ianya masih mempunyai baki untuk tujuan perbelanjaan peribadi beliau. 

Selain dari itu, saya juga turut membayar plan insurans bulanan buat isteri saya untuk tujuan perubatan dan perlindungan diri isteri saya yang mana ianya turut disertakan dengan sejumlah simpanan yang dikhususkan buat isteri saya. Saya tidak meminta isteri saya untuk menanggung perbelanjaan yang berkaitan seperti yang telah saya nyatakan di atas walaupun saya mengetahui yang beliau bekerja. Persoalan dari saya ialah;
 
(1) Adakah suami perlu menanggung segala perbelanjaan isteri yang keluar bekerja seperti kos pengangkutan, kos makan dan minum untuk isteri sewaktu bekerja.

(2) Adakah suami perlu menanggung setiap komitmen peribadi isteri seperti hutang kereta dan hutang peribadi memandangkan segala komitmen dari pihak isteri ini ada yang dibuat sebelum atau sesudah berkahwin.

Mohon pencerahan buat pertanyaan di atas. Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Perkara utama yang seharusnya difahami terlebih dahulu adalah nafkah asas yang perlu ditanggung oleh suami. Sebagaimana yang telah disepakati oleh kebanyakan ulama, nafkah asas yang perlu ditanggung oleh seorang suami terbahagi kepada 7 perkara iaitu makanan, barang dapur, pakaian, tempat tinggal, peralatan membersihkan diri, barangan rumah dan pembantu kepada isteri sekiranya menjadi kebiasaan bagi isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). Perkara ini adalah berpandukan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 233:

وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, kami rumuskan bahawa adalah menjadi kewajipan bagi seorang suami menanggung perbelanjaan/ nafkah asas isteri walaupun isteri mempunyai pendapatan sendiri. Namun, perlu diingatkan bahawa pemberian nafkah ini mestilah mengikut kemampuan suami.

1. Adapun kos pengangkutan, makan dan minum semasa isteri bekerja adalah tertakluk kepada persetujuan suami untuk memberinya ataupun tidak.  

2. Adapun hutang kereta ataupun hutang peribadi isteri bukanlah menjadi tanggungjawab suami untuk melangsaikannya.

Walau bagaimanapun, tuan dinasihatkan untuk berbincang secara hikmah dengan isteri dan disarankan membuat pelan tindakan bersama bagi mengurus kewangan keluarga.

والله أعلم بالصواب 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 176

message user image