BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

1. Assalamualaikum, semasa di asrama, saya tidur meniarap atas katil dan semasa saya tidur, saya merasa ada keluar cairan daripada kemaluan dan keadaan dan cara cairan itu keluar terpancut seperti sedang kencing. Cairan itu keluar agak banyak. Pada masa cairan itu keluar, saya tak merasakan apa2 kelazatan, dan saya tak hidu cairan itu.  Saya melihat cairan itu, cairan itu lendir, tiada warna seperti warna air dan apabila saya gesekkan pada jari, cairan lendir itu jadi warna putih. Saya tak menghidunya dan cecair itu telah kering, dan ada lebihan cecair di seluar dalam yg masih tak kering dan ia juga tiada warna. Saya tak pasti dan was was adakah itu Mani kerana cairan lendir itu tidak berwarna putih. Saya pun mandi wajib pada masa itu. Itu air apa sebenarnya.

2. Berdasarkan soalan 1, semasa saya merasa cairan itu keluar daripada kemaluan, saya masih teruskan tidur. Selepas saya bangun tidur, saya melihat cadar saya, pada cadar saya tak ada sebarang kesan atupun basah walaupun cairan itu keluar dalam keadaan saya tidur meniarap. Saya tak basuh cadar dan tilam kerana tidak ada apa2 kesan dan basah. Adakah boleh begitu kerana saya telah melihat bahawa tidak ada sebarang kesan atau basah.

3. Macam mana cara utk basuh cadar dan tilam yang dikhuatiri terkena najis. 

4. Perkara ini dah lama tak berlaku, bila saya sedang tidur, saya merasa seperti mahu terkencing dan saya menahannya, tapi air tu keluar juga. Bila saya lihat air itu, kadang kadang banyak, kadang kadang sederhana, dan kdg2 sedikit. Cecair itu berlendir, dan warnanya seperti oren oren coklat. Saya tak merasa lazat atau kepuasan, rasa sakit sedikit pada kemaluan kerana ia keluar dalam keadaan saya sedang menahannya supaya tidak keluar. Baunya kuat dan agak busuk menusuk hidung. Saya telah bertanyakan hal ini kepada doktor dan saya telah melakukan ujian air kencing. Keputusan air kencing saya normal. Soalan saya, itu air apa sebenarnya, ia kerap buat saya was2.

5. Setelah selesai kencing dan beristibra', saya duduk dan rasa seperti keluar air kencing. Saya menjadi was was ketika itu, adakah itu was2 yang saya tak perlu melayaninya.

6. Macam mana nak cuci seluar dalam dan seluar yang dikhuatiri terkena najis.

Terima kasih atas pencerahan.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Terdapat beberapa jenis cecair yang mungkin keluar melalui saluran kencing lelaki iaitu air kencing, mazi, wadi dan air mani. Air kencing merupakan bahan kumuhan cecair semulajadi yang disingkir dari badan. Warna air kencing pada kebiasaannya kuning jernih. Air mazi merupakan cecair yang keluar sewaktu seseorang merasa terangsang atau berahi. Ciri-ciri air mazi adalah ia berwarna putih jernih, likat dan licin. Air wadi pula adalah cecair keruh dan pekat yang keluar sama ada selepas kencing atau ketika mengangkat sesuatu yang berat. Ia keluar setitis atau dua titisan sahaja. Manakala air mani adalah cecair yang keluar biasanya secara memancut dengan diiringi rasa lazat atau klimak. Antara ciri-cirinya adalah ia berwarna putih dan pekat, berbau hanyir seperti putih telur apabila kering. Kesemua air tersebut adalah najis melainkan air mani yang dianggap suci pada pandangan mazhab Syafii.

Berdasarkan kepada kenyataan yang saudara berikan, besar kemungkinan ia adalah air mani. Ini kerana saudara sendiri telah kenalpasti bahawa cecair itu keluar dengan cara memancut dan ia seperti lendir apabila digosok dengan jari menjadi putih. Ia mempunyai ciri-ciri seperti air mani. Hukumnya adalah wajib mandi hadas besar.

2. Air mani bukan najis tetapi wajib seseorang itu mandi hadas besar. Jika air mazi yang terkena pada cadar, maka hukumnya adalah najis. Cara membersihkannya dengan air mutlak (dijirus dan mengalir) sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna). 

Berdasarkan kenyataan saudara berikan, tiada sebarang kesan cecair pada permukaan cadar, maka kembali kepada hukum asal iaitu bersih dan suci. Namun begitu, menukar dan membasuh cadar juga adalah lebih baik untuk kebersihan secara berkala.

3. Seandainya saudara hanya berasa khuatir tilam terkena najis, maka saudara tidak perlu membasuhnya. 

4. Berdasarkan kepada kenyataan yang saudara berikan, besar kemungkinan air tersebut adalah air kencing. Ini kerana saudara sendiri telah kenalpasti bahawa air itu seperti air biasa dan tidak melekit. Ia sama seperti ciri-ciri air kencing. Hukumnya adalah najis mutawassitah. Selain itu, air kencing boleh keluar walaupun sedikit-sedikit, tidak berwarna atau bau yang kuat. Saudara tidak perlu merasa was-was. Setiap kali ia keluar, basuh seperti membasuh air kencing seperti biasa.

5. Seandainya selepas kencing dan selepas melakukan istibra', kemudian benar-benar terasa seperti hendak kencing di dalam kemaluan semasa hendak duduk, maka saudara perlu beristibra' sekali lagi bagi memastikan air kencing benar-benar lawas atau habis.  

6. Saudara tidak perlu membasuh seluar dalam atau seluar yang saudara khuatiri terkena najis. Sekiranya diyakini terdapat najis pada seluar dalam di bahagian hadapan lubang kemaluan kerana terdapat cecair yang keluar seperti titisan air kencing atau mazi, saudara hanya perlu basuh di bahagian yang terkena najis tersebut sahaja dengan mengalirkan air mutlak/ air paip ke atasnya tanpa perlu membasuh keseluruhan seluar dalam.  

Mudah-mudahan Allah SWT memberi kesembuhan kepada saudara daripada penyakit was-was.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 1011

message user image