BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya ingin bertanya mengenai hukum dan perkara yang perlu dilakukan oleh saya bagi menanggani masalah yang akan saya nyatakan. Soalan : Apakah hukum seorang emak menghalang anaknya untuk menuntut ilmu akhirat dengan alasan akan membazir duit simpanan anaknya dan Apakah hukum seorang emak menghalang anaknya untuk tahajud dengan alasan anaknya akan tidak cukup tidur. Saya sebagai seorang anak ingin membeli buku yang berkaitan dengan Islam tetapi mak saya tidak mengizinkannya . Mak saya hanya membenarkan saya beli buku berkaitan dengan Islam sekali sahaja . Saya memberitahu kepada emak saya bahawa saya tidak boleh tidur malam Setelah terjaga Dari tidur , oleh itu saya kerap tahajud untuk mengisi masa malam saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan persoalan puan, secara asasnya berbuat baik dan mentaati perintah ibu dan bapa merupakan kewajipan setiap anak. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Sural al-Isra ayat ke 23:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Para ulama dalam hal ini mengariskan sempadan ketaatan anak kepada ibu bapanya iaitu:

1. Seseorang anak wajib mentaati ibu bapa selagi mana mereka tidak menyeru kepada perkara-perkara maksiat dan menyeru kepada kekufuran. Hubungan ibu bapa dan anak-anak  ini akan kekal walaupun berlainan agama. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Sural Luqman ayat ke 15:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.

2. Seseorang anak wajib mentaati ibu bapa jika mereka mempunyai alasan atau tujuan yang kukuh dalam suruhan dan larangan terutama dalam perkara yang sunat atau harus atau perkara yang tidak disukai oleh kedua ibu bapa.

3. Seseorang anak wajib mentaati ibu bapa selagi mana perintah ibu bapa itu tidak memudaratkan anak.

Berbalik kepada persoalan puan, sekiranya ibu menghalang melakukan perkara yang sunat seperti solat sunat kerana mempunyai alasan yang kukuh seperti memerlukan khidmat si anak pada ketika itu maka taatilah mereka. Namun jika ibu mencegah melakukan perkara sunat tanpa alasan yang kukuh selagi tidak pada perkara yang boleh memudaratkan mereka maka teruskanlah melaksanakan solat sunat tersebut. Tetaplah berusaha untuk berkata baik dan menerangkan kebaikan melaksanakan perkara sunat kepada mereka supaya mereka lebih memahami.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 108

message user image