Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Bagaimanakah pelaksanaan akad muamalat oleh golongan orang kelaian upaya(OKU)
*Buta Bisu atau kecacatan lain.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
OKU atau dikenali sebagai orang kelainan upaya diklasifikasikan kepada empat kategori iaitu kurang upaya penglihatan, kurang upaya pendengaran, kurang upaya anggota dan kurang upaya akal. Golongan ini tidak terkecuali dalam interaksi sosial atau muamalat dengan masyarakat dalam pelbagai kegiatan seperti hak dalam urusan jual beli, pinjaman, simpanan, pelaburan, gadaian, wasiat dan sebagainya.
Merujuk kepada soalan tuan, pelaksanaan mulamalat dalam kalangan golongan OKU khususnya golongan kurang upaya penglihatan perlu diambil kira maslahahnya apabila mereka menjalankan sesuatu akad jual beli. Hal ini kerana sesuatu kontrak yang dijalankan amat menitikberatkan keadilan bagi kedua-dua pihak serta menutup segala keburukan yang boleh berlaku kepada golongan OKU. Adalah menjadi salah satu keperluan di dalam berjual beli adalah melihat atau mengetahui barang yang hendak dibeli.
Menurut pendapat mazhab Syafii dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji di bawah penjelasan rukun akad jual beli bahawa tidak sah jualan orang buta kecuali melibatkan wakil orang lain terutamanya melibatkan penjualan jihalah fahisyah (ketidakjelasan yang berat), iaitu jual beli gharar yang boleh membawa kepada berlaku konflik antara dua pihak. Adapun bagi penjualan jihalah yasirah (ketidakjelasan yang ringan) adalah sah dan dibenarkan kerana tidak menyebabkan berlakunya konflik antara dua pihak. Orang yang mewakili si buta bagi urusan jual beli hendaklah menjelaskan kriteria jualan, jenis, sifat, warna dan sebagainya supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini dan penipuan terhadap orang buta.
Bagi orang kelainan upaya pendengaran atau bisu tapi boleh melihat, hukum berjual beli adalah sah selama dapat berkomunikasi dan isyaratnya boleh difahami. Begitu juga bagi orang yang pekak, jika dapat melihat dan isyaratnya boleh difahami, maka jual belinya adalah sah.
والله أعلم بالصواب