Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum Tuan Mufti, maaf menganggu.
Saya ada satu kemusykilan.
Apa hukumnya jika kita mandi dengan menggunakan shower filter yang mengandungi Vitamin C? Adakah ia masih dianggap air suci dan dikira sah serta dibenarkan untuk digunakan ketika mandi junub?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, Islam sangat prihatin terhadap soal kebersihan dan bersuci. Hal ini kerana kebersihan adalah merupakan sebahagian daripada iman. Daripada Abu Malik al-Ash'ari bahawa Radulullah SAW bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya: Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan. (Riwayat Muslim)
Firman Allah SWT juga di dalam surah Al-Anfal ayat 11:
وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ
Maksudnya: Dan Allah menurunkan ke atas kamu air dari langit untuk menyucikan kamu dengannya.
Sebelum pihak kami menjawab, perlulah diterangkan kategori air dan Jenis-jenisnya. Para fuqaha membahagikan air kepada tiga bahagian iaitu:
Air yang suci lagi menyucikan.
Air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan.
Air yang bernajis.
Setiap bahagian air ini mempunyai hukumnya yang tersendiri.
1 – Air Yang Suci Lagi Menyucikan – (Air Mutlak)
Iaitu air hujan, air laut, air sungai, air perigi, air mata air, air salji. Kategori air ini kekal dengan sifat asal kejadiannya sebagaimana yang dijadikankan oleh Allah SWT, sama ada ia tawar atau masin, ia tidak berubah dengan sesuatu bahan asing dari sifat semulajadinya, ia tidak bercampur dengan sebarang cecair suci yang lain. Jika air ini berubah pada warna, bau dan rasanya disebabkan terbiar lama ataupun kerana bercampur dengan tanah, lumut, belerang dan sesuatu yang sukar untuk dielakkan, maka ia tetap suci lagi menyucikan.
Adapun, apabila air ini digunakan untuk mengambil wuduk, mandi, menghilangkan najis maka ia tidak lagi suci dan menyucikan, tetapi ia termasuk dalam kategori air jenis kedua atau ketiga. Begitu juga jika air ini bercampur dengan sesuatu bahan cecair yang suci sehingga mengubah nama asalnya, maka ia tidak lagi suci dan menyucikan, contohnya seperti air mawar, air baqilla, air za’faran dan semua jenis cecair yang diperah. Sekiranya air ini terpelihara dari bahan-bahan yang boleh mengubah sifatnya maka ia dipanggil air mutlak iaitu air yang kekal atas namanya tanpa terikat dengan sesuatu, dan ia adalah suci lagi menyucikan yang merupakan syarat untuk mengangkat hadas dan najis, dan menggunakannya adalah harus.
2- Air Yang Suci Tetapi Tidak Boleh Menyucikan – (Air Mustakmal)
Air jenis ini merangkumi tiga bahagian:
i) Air sedikit yang telah digunakan untuk basuhan wajib ketika bersuci seperti wuduk, mandi hadas, dan ia adalah suci tetapi tidak boleh menyucikan. Alasan yang menyebabkan air mustakmal tidak boleh digunakan adalah kerana ia bukannya tergolong dari jenis air mutlak. Manakala dari sudut pengabdian kepada Allah SWT air tersebut mengalirkan dosa daripada bahagian anggota wuduk dari basuhan tersebut. Begitu juga air mustakmal yang telah digunakan untuk mengangkat hadas, ia juga tidak dapat menghilangkan najis.
ii) Air mutlak yang bercampur dengan sesuatu bahan yang suci, dan bahan tersebut tidak boleh dipisahkan setelah bercampur, ia menyebabkan air tersebut tidak lagi dinamakan air mutlak, air ini adalah suci pada dirinya tetapi tidak boleh menyucikan, seperti air yang bercampur dengan za’faran, kapur dan lain-lain. Begitu juga air yang mengalami perubahan ketara seperti air teh, kerana ia tidak lagi dinamakan air mutlak. Begitu juga air yang banyak atau sedikit apabila bercampur dengan cecair yang sama dengan sifatnya, lalu ia mengubah sifat, rasa dan baunya. Maka air tersebut juga adalah suci tetapi tidak boleh menyucikan.Air yang termasuk dalam kategori ini harus digunakan dalam apa jua keadaan kecuali untuk bersuci dari hadas atau menghilangkan najis.
iii) Cecair lain seperti cuka dan nabiz- jus rendaman buah-buahan, air dalam bentuk ini adalah suci tetapi tidak boleh menyucikan serta tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis. Maksud nabiz di sini ialah air yang direndam/peram dengan buah-buahan sehingga rasa buah tersebut meresap ke dalam air, seperti buah kurma, kismis dan aprikot. Peraman di sini tidak sama seperti nabiz khamar yang menggunakan anggur untuk dijadikan arak, hukumnya berlainan.
Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya (warna, rasa dan bau) menyebabkan ia tidak dipanggil air mutlaq lagi seperti air yang dicampur dengan madu, sirap dan lain-lain.
3- Air Bernajis – (Air Mutanajjis)
Air bernajis ialah air yang terjatuh najis di dalamnya. Air pada asalnya adalah suci. Namun, apabila air ini terjatuh di dalamnya najis, sehingga mengubah warna, rasa dan baunya maka ia menjadi najis. Kadar yang membezakan antara sedikit dan banyaknya air tersebut ialah seperti yang dijelaskan oleh Baginda SAW sebagai Qullatain iaitu dua kolah sebagaimana sabda Baginda SAW:
إذا بلغ الماء قلتين فإنه لا يحمل الخبث
Maksudnya: Apabila air itu mencukupi dua kolah, maka ia tidak menanggung najis. (Riwayat Abu Daud)
Ini kerana air yang sedikit boleh dipelihara dari terkena najis di dalam bekas dan bejana, manakala air yang banyak sukar dipelihara dari terkena najis. Oleh itu sukatan dua kolah menjadi kadar yang menentukan sama ada air tersebut sedikit atau banyak. Sukatan air dua kolah adalah lebih kurang 200 kg air atau bersamaan 200 liter. Air yang bernajis tidak sah untuk bersuci sebarang kegunaan. Maka tidak sah juga untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis dengannya. Jika air yang bernajis berubah dengan sendiri secara semula jadi, maka ia menjadi suci. Jika ia berubah setelah dicampur dengan tanah, kapur atau selainnya maka ia tidak dianggap suci.
Berdasarkan keterangan di atas, hukum air yang telah bercampur dengan vitamin C adalah termasuk dalam kategori kedua iaitu air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan. Dan tidak boleh digunakan untuk mandi junub tetapi boleh digunakan untuk kegunaan harian dan mandi biasa.
والله أعلم بالصواب