BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan..

Mohon pencerahan mengenai wakaf.

Sekira masjid ingin membuat wakaf tentang tanaman Sawit, adakah kos upah dibenarkan dalam pengiraan wakaf tersebut. 

contoh:

Tebang pokok (jentera berat), Anak sawit, upah meracun, baja, dan upah membaja dan menanam anak sawit


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Merujuk kepada soalan yang diajukan, tujuan kutipan wakaf boleh dibahagikan kepada dua iaitu;

1.  Wakaf Membeli Aset

Pembukaan Tabung atau Kutipan wakaf bertujuan untuk membeli tanah atau bangunan untuk dijadikan aset wakaf. Dalam keadaan ini, kos sampingan tidak boleh menggunakan kutipan wakaf dan mestilah menggunakan sumber lain seperti manfaat wakaf. Sebagai contoh, kutipan wakaf sebanyak RM1,000.000.00, maka jumlah tersebut kesemuanya perlu digunakan untuk kos pembelian tanah. Adapun kos guaman dan sebagainya hendaklah menggunakan sumber lain.

 2. Wakaf Pembangunan Tanah Wakaf

Pembukaan Tabung atau Kutipan wakaf bertujuan membangunkan tanah atau aset wakaf sedia ada seperti projek pembangunan ladang kelapa sawit, maka kutipan tersebut boleh digunakan untuk tujuan menebang pokok (menggunakan jentera berat), membeli anak sawit, upah menanam anak sawit, membeli baja, upah membaja dan sebagainya. 

Penggunaan dana wakaf hendaklah hanya berkaitan dengan pembangunan tanah wakaf dan dibuat secara berhemah tanpa sebarang pembaziran dan penyelewengan. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 120

message user image