BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya apakah hukum menyertai kelas senaman di dalam bilik tertutup, hanya boleh disertai oleh wanita & tidak dibenarkan mengambil gambar dan video.

Untuk pengetahuan Mufti/Ustaz, saya menetap di Qatar, yang mana kebiasaan kelas2 senaman disini ( aerobik, zumba, yoga, pilates & sebagainya ) yang dibuka untuk wanita, hanya boleh disertai oleh wanita sahaja. 

Yang menjadi kemusykilan, walaupun hanya wanita, ada pencampuran dengan wanita bukan islam. Adakah boleh untuk saya sertai kelas tersebut? Bagaimana aurat dengan mereka & etika pemakaian? 

Kawan arab saya ( wanita islam ) yang menyertaikan kelas tersebut mengatakan di Qatar,  ramai sedia maklum budaya dan peraturan termasuk wanita bukan islam yang sertai kelas. 

Saya ingin menyertai dengan niat untuk memperbaiki kesihatan saya tapi saya takut saya melanggar hukum. Saya harap pihak mufti/ustaz dapat membantu. 

terima kasih. 

 


 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga puan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Islam tidak melarang wanita untuk turut terlibat dalam senaman, bahkan penjagaan kesihatan sangat dianjurkan di dalam Islam. Namun begitu, wanita juga perlu memastikan penjagaan aurat dijaga dengan rapi. Hal ini kerana, bukan aurat antara lelaki dan wanita sahaja yang perlu dijaga, bahkan aurat antara wanita muslim dengan wanita bukan muslim juga perlu dijaga. Menurut Jumhur ulama, aurat di antara wanita muslim dengan wanita bukan muslim adalah sama seperti aurat wanita dengan lelaki iaitu seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Manakala menurut pandangan sebahagian ulama mazhab syafie, termasuk sebahagian ulama mutaakkhirin mazhab syafie bahawa aurat wanita muslim dengan wanita bukan muslim adalah selain kepala, tangan dan kaki. 

Maka bersenam dalam kalangan wanita sekalipun bukan muslim adalah dibenarkan namun disyorkan agar puan memakai pakaian yang bersesuaian ketika bersenam, dan memelihara aurat dengan sebaiknya supaya tidak menimbulkan fitnah serta menjatuhkan maruah bagi wanita muslim.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 348

message user image