BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam Tuan Mufti

Boleh terangkan secara jelas bagaimana caranya untuk menyucikan najis ainiyyah dan hukmiyyah pada tempat yang tidak boleh kena air atau bersentuh dengan air contoh barang elektronik seperti tv, phone dan sebagainya, atau seperti suis lampu yang terkena najis. Mohon dapat beri perjelasan untuk membantu saya memahami lebih bab taharah. 
 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan persoalan di atas, kaedah menyucikan najis ainiyyah dan hukmiyyah yang terkena pada tempat yang tidak boleh kena air adalah seperti berikut:

  • Najis Ainiyyah - Zat najis tersebut hendaklah dihilangkan terlebih dahulu tanpa menggunakan air. Kemudian permukaan tersebut disapu sekadar yang mampu. 
  • Najis Hukmiyyah - Permukaan tersebut disapu sekadar yang mampu iaitu dengan kadar tidak merosakkan barangan tersebut.

Kaedah ini dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmuk "Sekiranya najis terkena pada permukaan yang berkilat seperti pedang, pisau, cermin dan sebagainya. Yang mana permukaan tersebut tidak menjadi suci disebabkan sapuan semata-mata, dan ia juga tidak boleh dibasuh (alirkan air) maka ia menjadi suci dengan sapuan. Ini juga adalah pandangan Ahmad, Daud, Malik dan Abu Hanifah"

Sebagai tambahan yang menyokong penyataan ini, Imam Uthman bin Ali al Zayla'i al Hanafi dalam kitabnya Tabyin al-Haqaiq menyebutkan satu riwayat yang sohih bahawa sahabat Rasulullah SAW telah membunuh golongan kafir, lalu para sahabat menyapu pedangnya dan solat dengan membawanya bersama. Apabila basuhan boleh menyebabkan pedang tersebut rosak atau berkarat, maka ia dianggap sebagai keadaan darurat.

Kesimpulannya, tempat yang tidak boleh kena air seperti barang elektrik, telefon bimbit dan sebagainya boleh dianggap sebagai keadaan yang boleh mengecualikannya daripada basuhan biasa kerana basuhan air dapat merosakkan barangan tersebut. Oleh itu, cukup sekadar menyapu bahagian yang terkena najis sekadarnya. Penyelesaian bagi isu ini telah disebutkan oleh para ulama sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 423

message user image