Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Nenek saya sudah tua. Tidak mampu untuk berpuasa. Di zaman muda nenek ada tertinggal puasa ramadan kerana melahirkan anak. Boleh kah kami anak cucu mengqadakan puasa nenek?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, walaupun nenek sudah tua tetapi jika nenek masih berupaya untuk menggantikan puasanya sendiri, hendaklah digantikan sendiri puasanya mengikut kemampuannya (berselang-selang hari) sehingga habis semuanya. Jika tidak mampu disebabkan keuzurannya dan tiada harapan untuk sembuh, hendaklah membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya. Firman Allah SWT: Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (al-Baqarah : 184) Sekiranya nenek telah meninggal dunia, sedangkan masih terdapat baki puasa yang belum diganti, maka warisnya hendaklah menggantikannya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya : فقال : يا رسول الله، إن أمي ماتت وعليها صوم شهر افأقضيه؟ قال : نعم. جاء رجل إلى النبي ﷺ قال : فدين الله أحق أن يقضى Maksudnya : “Seorang lelaki menemui Nabi SAW dan bertanya : Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia dan dia masih mempunyai hutang puasa bulan Ramadhan. Bolehkah aku menunaikannya? Baginda menjawab : Ya. Hutang Allah lebih patut ditunaikan”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.