Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya ada sedikit perselisihan faham dengan isteri tentang perkara berikut:
Saya ada mendengar satu ceramah agama tentang sah solat wanita,
Situasinya begini, ada satu soalan dari penonton...
Si Isteri, Solat dirumah dengan hanya memakai telekung dan tanpa lapisan lain dan dlm masa sama dilihat oleh suami bahawa telekung tersebut boleh menampakkan tubuh badan kerana nipis.
Adakah sah solat si Isteri?
Sekian, Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, antara syarat sah solat adalah berpakaian menutup aurat iaitu tidak menampakkan kulit dan tidak ketat. Hukum memakai tudung atau telekung yang nipis yang menampakkan rambut dan warna kulit boleh membatalkan solat walaupun di hadapan wanita atau suami sahaja kerana antara syarat sah solat adalah menutup aurat. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 31:
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
Menurut tafsir Ibn Kathir mengenai pakailah pakaian yang indah ialah bermaksud pakaian yang boleh menutupi aurat atau keaiban ketika hendak pergi ke tempat ibadat untuk menunaikan ibadah solat. Jadi, hendaklah wanita yang ingin menunaikan solat memastikan pakaian atau telekung yang digunakan adalah tidak nipis dan ketat.