BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Yang Berhormat Dato' Mufti,

Saya ingin bertanya,

Adakah berlaku proses Istihalah pada abu yang bersumberkan bahan yang tidak halal dan adakah boleh menggunakan abu tersebut untuk proses penghasilan Telur Padi / Telur Awet? 

Sekian, terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan soalan puan, menggunakan abu yang telah diketahui berasal daripada sumber yang tidak halal untuk proses penghasilan telur padi atau telur awet adalah tidak dibenarkan. Ini adalah kerana proses istihalah tidak berlaku pada abu yang dibuat bersumberkan bahan yang tidak halal. Proses penghasilan telur padi atau telur awet menyebabkan terjadinya penyerapan atau percampuran daripada bahan yang digunakan sehingga mengubah elemen asal telur tersebut seperti sifat, rupa dan warna telur. Penggunaan abu yang tidak halal untuk proses penghasilan telur padi atau telur awet adalah tidak dibenarkan kerana berlaku percampuran daripada bahan yang tidak halal yang mengubah elemen telur tersebut. Bahkan, terdapat bahan lain yang halal yang boleh digunakan untuk membuat telur padi atau telur awet seperti tanah liat, abu kayu, sekam padi, garam dan kapur.

Sebagai individu Muslim, kita hendaklah memastikan makanan dan minuman yang diambil adalah daripada sumber yang halal lagi suci (halalan tayyiba) demi kebaikan kehidupan kita sekeluarga. Tambahannya, pengambilan makanan dan nutrisi yang baik, halal, suci dan berkhasiat dapat membantu seseorang hamba lebih bertenaga dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah dengan penuh keberkatan insyaAllah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 186:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Sebagai kesimpulan, proses penghasilan telur padi atau awet hendaklah menggunakan bahan yang halal yang tidak bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak demi menjaga kebaikan jasmani dan rohani serta menjauhi perkara yang memudaratkan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 189

message user image