BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz.

Apa hukum isteri terima hadiah daripada ibunya tanpa izin suami.

Ibu saya menghadiahkan set barang kemas kepada saya. Tetapi suami meminta sy memulangkannya semula. Perlukah saya memulangkan semula hadiah itu?

Ibubapa sy telah memberikan rumah dan tanah kepada adik2 saya. Tetapi kerana sy sudah menetap di Selangor sy menolak untuk menerima tanah di kampung. Sebaliknya ibubapa sy ingin memberikan sejumlah wang sebagai ganti. Boleh kan sy menerimanya? Suami sy tidak mengizinkan sy menerima apa2 bentuk hadiah/bantuan daripada ibubapa sy.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Berdasarkan soalan puan, hukum menerima hadiah daripada ibubapa adalah dibenarkan dan tidak menjadi kesalahan jika puan menerimanya tanpa izin suami kerana ianya merupakan pemberian. Ini disebut sebagai hibah. Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup si pemberi hibah. Pemberian secara hibah ini boleh memperlihatkan keindahan islam sebagai agama yang amat menitikberatkan soal penghormatan kepada ibu bapa dan keluarga serta menggalakkan kasih sayang sesama manusia.

Oleh yang demikian, berkenaan dgn hadiah set barang kemas tersebut yang ibu ingin hadiahkan juga adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya puan menerimanya dan puan tidak perlu memulangkannya kembali kepada ibu puan. Ini kerana ianya disebut sebagai pemberian kasih sayang daripada ibu puan. Di samping itu juga, sekiranya puan menerima sejumlah wang daripada ibubapa puan sebagai ganti kepada tanah yang puan tolak juga adalah tidak menjadi kesalahan.

Oleh itu menerima pemberian tersebut adalah tidak menjadi kesalahan tetapi di dalam konteks perkahwinan itu sendiri menegaskan seorang isteri mestilah mematuhi perintah suami. Ini kerana seorang isteri itu wajib mentaati  segala perintah suami selagimana ianya tidak bercanggah dengan syarak. Di dalam hal ini, suami puan meminta agar set barang kemas tersebut dikembalikan pada ibu puan dan suami puan juga tidak mengizinkan puan untuk menerima apa sahaja bentuk hadiah mahupun bantuan daripada ibubapa puan. Disarankan kepada puan untuk berbincang bersama suami puan agar mendapat kata sepakat yang terbaik untuk puan sekeluarga membuat keputusan agar tidak mengguris hati sesiapa. 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 128:

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا

Maksudnya: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya).

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 96

message user image