BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum Ustaz/Ustazah,

Saya ada persoalan bab hukum. Sekiranya seseorang itu mendapat bekalan ubat berlebihan daripada hospital (claim GL kakitangan kerajaan) dan menjual semula ubat tersebut melalui farmasi. Adakah hasil jualan tersebut dikira halal?

Terima kasih atas maklum balas.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Sekiranya pengambilan ubat tersebut diambli dengan kaedah yang betul seperti mengambil dengan kuantiti yang sepatutnya untuk diri sendiri, tiada unsur penipuan. Maka hasil jualan tersebut dikira halal kerana ubat tersebut telah berlaku tamlik (pindah milik) kepada penerima. Oleh itu, penerima ubat berhak untuk bertasaruf ke atas ubat tersebut sama ada ingin menggunakannya, menjual, menghadiahkan dan lain-lain. 

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat unsur penipuan seperti mengambil (claim) ubat tersebut sedangkan dia tidak memerlukannya atau mengambil dengan kuantiti yang berlebihan daripada yang asal dengan tujuan untuk menjualnya atau mengambil keuntungan, maka ia dianggap sebagai mengambil sesuatu yang bukan haknya. Begitu juga seandainya terdapat apa-apa kenyataan atau peraturan yang tidak membenarkan ubat tersebut untuk dijual beli. Jika ada, sebaiknya pulangkan semula kepada pihak hospital untuk kegunaan orang lain yang memerlukan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 210

message user image