Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya nak tanya berkenaan perasaan apabila melihat kaabah. Semua orang yang pernah ke Mekah menyatakan tentang betapa menakjubkan dan syahdunya melihat Kaabah pada kali pertama. Tetapi bagi saya, saya tak ada apa-apa perasaan sedemikian, dan saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan saya apabila saya tidak merasakan apa-apa. Satu-satunya perkara yang saya rasa adalah rasa bersalah sangat kerana tidak merasakan apa yang orang lain rasa. Adakah ini sesuatu yang normal?
Jawapan
Perasaan taajub atau syahdu melihat Kaabah akan timbul apabila kita memahami dan mengetahui kisah di sebalik Kaabah tersebut. Pepatah Melayu ada mengatakan, "Tak kenal maka tak cinta". Kaabah merupakan saksi bisu berbagai peristiwa yang pernah dilalui bukan setakat Nabi SAW sahaja, bahkan sejak Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS lagi. Menambah ilmu dan maklumat berkaitan Kaabah dapat menambah kenal dan cinta kita kepada Kaabah. Antara kelebihan Masjid al-Haram dan Kaabah adalah:
1. Masjid yang paling awal dibina di atas muka bumi. Abu Zar al-Ghifari RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Masjid apakah yang paling awal dibina? Nabi SAW menjawab: Masjid al-Haram, kemudian masjid al-Aqso. Aku (Abu Zar) bertanya lagi, berapa lama beza masa antara pembinaan keduanya? Nabi SAW menjawab: Empat puluh tahun.
2. Kaabah adalah kiblat seluruh umat Islam di dunia.
3. Solat di Masjid al-Haram bersamaan 100,000 pahala berbanding masjid lain.
4. Mustajab doa di depan kaabah.
5. Tempat yang paling mulia di atas muka bumi.
Semoga kita diberi rasa hati yang baik dalam memahami keberkatan tempat suci umat Islam.