BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Apakah hukumnya jika saya keluar dari rumah suami, atas alasan tidak mahu disakiti secara psikologi dan fizikal. Apa hukum jika suami melarang saya bekerja, sedangkan saya harus mencari nafkah untuk diri sendiri. Apa cara untuk saya membuat aduan di pejabat agama jika saya tidak memiliki dokumen surat nikah kerana disembunyikan oleh suami. Apakah jatuh nusyuz ke atas diri saya jika tidak tinggal serumah dengan suami. Harap dapat memperjelaskan kepada saya. Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan; 1. Hukum asalnya seorang isteri tidak boleh keluar rumah suaminya melainkan dengan keizinan suaminya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُم بِاللَّيْلِ إِلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوا لَهُنَّ Maksudnya : “Apabila isteri kalian meminta izin kepada kalian untuk berangkat ke masjid malam hari, maka izinkanlah” (Riwayat al-Bukhari) Imam an-Nawawi mengatakan, hadis ini dijadikan dalil bahawa wanita tidak boleh keluar rumah suaminya kecuali dengan izin suaminya (Fathu Bari). Namun, dalam kes puan maksud keluar rumah atas desakan tidak mahu disakiti secara psikologi dan fizikal yang dikira sebagai mengancam diri, maka diharuskan keluar rumah sekalipun tanpa keizinan suami setelah tiada penyelesaian bagi masalah ini. Hal ini kerana, jika tetap tinggal di dalam rumah suami mampu mengancam dan memberi kemudharatan kepada diri dan nyawa, maka keluar untuk menjaga hak diri dan nyawa adalah lebih utama. 2. Dalam Islam, pemberian nafkah asalnya adalah berada di bawah tanggungjawab suami. Manakala dalam konteks wanita bekerja menurut Islam, hukum asal baginya adalah tidak perlu keluar bekerja. Ini adalah kerana nafkah akan ditanggung oleh suami bagi yang telah berumahtangga. Manakala yang tidak berkahwin akan ditanggung oleh bapa atau wali di bawahnya. Jika suami telah menunaikan nafkah zahirnya, maka larangan untuk tidak keluar bekerja wajib dipatuhi oleh isteri. Namun, jika suami tidak memberikan nafkah sehingga menyebabkan isteri berada dalam keadaan darurat, maka dibolehkan isteri keluar bekerja dengan syarat menjaga adab-adab wanita bekerja dalam Islam seperti menutup aurat, pekerjaan yang halal, menjaga maruah dan lain-lain. Namun, adalah lebih baik jika mampu mencari pekerjaan yang menjana pendapatan yang tidak memerlukan keluar rumah seperti berniaga online jika tidak diizinkan suami bekerja di luar. 3. Seseorang yang menghadapi masalah kekeluargaan boleh mendapatkan khidmat nasihat dan rundingcara dari mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan dengan tempat tinggal atau di Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau hubungi di talian : 03-55143461/ 03-55143462/ 03-55143458. Bagi kes puan yang tidak memiliki dokumen surat nikah kerana disembunyikan oleh suami, puan masih boleh membuat aduan dan mendapatkan salinan surat nikah di Pejabat Agama kerana salinan surat nikah masih berada dalam simpanan Pejabat Agama di mana pernikahan puan didaftarkan. 4. Islam bukanlah agama yang menzalimi wanita. Jika disebabkan perkara yang disebutkan puan menyebabkan puan tidak tinggal serumah dengan suami, maka ia tidak dianggap nusyuz melainkan suami bertaubat dan melaksanakan tanggungjawabnya. Apa yang penting dalam keadaan puan sekarang, janganlah berhenti berdoa semoga diberi jalan keluar bagi masalah ini dan pohonlah semoga Allah SWT memberi hidayah kepada suami puan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 238

message user image