Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti yang dirahmati Allah Ar-Rahman...selain daripada menafsirkan ayat yang kita baca ketika solat , bolehkah kita membayangkan keadaan neraka/syurga/padang mahsyar? Dan bolehkah kita membayangkan kalimah "الله"? Ada juga yang kata solat itu dikira lalai jika kita membayangkan sesuatu yang tidak sama seperti maksud bacaan solat kita tu
Jawapan
Persoalan yang diajukan berkait rapat dengan sifat khusyuk di dalam solat. Mencapai khusyuk dalam solat merupakan kedudukan yang mulia dan dituntut dalam Islam.
Dikisahkan dalam kitab al-Zuhud Wa al-Raqaiq karangan Ibnu al-Mubarak, Saidina Ali RA pernah ditanya berkaitan ayat Al-Quran surah al-Mukminun ayat 2:
Maksudnya: (Antara sifat orang berjaya adalah) mereka yang khusyuk dalam solatnya
Lalu Saidina Ali RA menjawab:
Maksudnya: Khusyuk itu di dalam hati dan merapatkan bahu kepada Muslim yang lain (rapatkan saf), dan jangan mengingati perkara lain ketika solat.
Antara kaedah untuk mendapatkan khusyuk adalah dengan memahami setiap ayat Al-Quran, zikir serta doa yang dibaca dalam solat. Membayangkan syurga atau neraka ketika ayat tersebut dibaca adalah termasuk dalam perbuatan khusyuk dalam solat kerana masih memikirkan hal berkaitan solat. Tetapi jika membayangkan sesuatu bukan ketika ayat itu dibaca, tidak termasuk dalam khusyuk dan ia boleh mengganggu solat.
Adapun membayangkan kalimah Allah ketika membaca ayat tentang kebesaran Allah adalah dibolehkan selama mana tidak beriktiqad bahawa tulisan Allah itu adalah Allah. Sebaliknya hendaklah beriktiqad itu hanyalah tulisan nama Allah yang tidak mampu memberi manfaat atau mudharat. Di samping itu, perbuatan di luar solat seperti meninggalkan perkara dosa dan sia-sia serta memperbanyakkan amal ibadah dapat membantu hati dalam mencapai khusyuk dalam solat.