Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin tumpang bertanya. Dahulu saya ni seorng yang jahat. Saya menganiayai bekas kekasih saya. Teruk sangat perkara yang saya lakukan terhadap beliau. Bila dah putus, baru saya sedar semua salah silap dan bertapa kejinya perbuatan saya terhadap beliau. Saya menyesal sangat sangat. Saya mohon ampun kepada Allah dan juga saya mintak ampun dan maaf kepada beliau setiap hari sehingga ke hari ini selama hampir 2 tahun. Tetapi beliau tidak mengendahkan message maaf saya. Apa perlu saya buat? saya buntu sangat sangat sampai kan ada ketika saya fikir lebih baik saya bunuh diri dan mati sahaja atas dosa yg saya pernah lakukan.
Jawapan
Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana tuan telah insaf dan bertaubat.
Sesungguhnya hukum bertaubat daripada dosa yang telah dilakukan adalah wajib sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 31:
Maksudnya: Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Tuan juga telah melakukan tindakan yang baik dengan memohon maaf kepada bekas kekasih. Walau bagaimanapun, setelah melaksanakan taubat dan memohon maaf, sentiasalah berdoa dan berserah kepada Allah semoga dosa yang dilakukan akan diampuni. Tanggungjawab sebagai seorang yang bersalah adalah untuk memohon maaf dari orang yang kita sakiti. Sama ada orang orang itu ingin memaafkan atau tidak, ia adalah di antara dia dan Allah swt. Ini adalah kerana ia di luar penguasaan kita. Antara perkara yang boleh tuan lakukan adalah sentiasa menghadiahkan pahala kepada bekas kekasih, seperti bersedekah atau membaca al-Quran untuknya. Di samping berdoa kepada Allah SWT agar membuka atau melembutkan hati bekas kekasih.
Sebagai umat Islam, kita juga perlu bersangka baik dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT supaya jiwa menjadi lebih tenang. InshaAllah.