BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,maaf mengganggu. Saya ada beberapa soalan yang saya nak tanya dekat ustaz. 

Saya ada join halaqah selama lebih kurang 6-7 bulan. Halaqah ini bawah sebuah jemaah. Halaqah yang saya join ini amat bagus,saya dapat tadabbur al-quran dan murobbi saya selalu pantau mutabaah amal saya. Saya pun dapat kesedaran tentang kepentingan dakwah. Jemaah dakwah yang saya sertai ni sangat aktif.Jemaah ni ada buat daurah (seminar),riadah,bisnes dan macam macam lagi.Namun,ada sampai satu tahap, saya rasa saya tak mampu ikut dengan jemaah ini.Ada masa,saya rasa saya tak mampu untuk korbankan masa dan wang saya.Saya rasa macam agama tu sangat berat pula kadang kadang.

1)Apa hukum jika saya keluar daripada jemaah ini ustaz,adakah berdosa sebab ada yang kata join gerak kerja dakwah ni fardhu ain dan ada yang kata fardhu kifayah 

2)Dalam surah at Taubah ayat ke 24 :

Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Jika saya mengutamakan benda lain selain dakwah dan halaqah. Contohnya,saya tidak ikut program dakwah sebab saya keluar dengan keluarga atau. Adakah saya termasuk dalam konteks ayat ni ustaz ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1. Berdasarkan persoalan tuan, secara asasnya tanggungjawab berdakwah bagi seluruh umat Islam ialah fardu kifayah. Hal ini termasuk dalam urusan bergabung dalam jemaah. Ia merupakan salah satu jalan dakwah yang efektif dan sangat membantu seseorang untuk kekal istiqomah dalam kebaikan. Seseorang Muslim tidak diwajibkan menyertai jemaah tertentu bahkan berhak menyertai dan meninggalkan sesuatu jemaah itu. Walau bagaimanapun seseorang Muslim itu wajib mengikuti dan berpegang kepada kebenaran al-Quran dan al-Sunnah, serta mengikuti apa yang dilalui oleh para salafus soleh dalam berpegang kepada kebenaran dan mengikut al-Sunnah.

Manakala, bagi setiap individu Muslim berdakwah merupakan fardu Ain. Setiap Muslim tetap mempunyai tanggungjawab berdakwah secara individu bergantung kepada kemampuan dan ilmunya. Hal ini berdasarkan dalam firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

2. Manakala berkenaan Surah al-Taubat ayat 24, ayat ini merujuk kepada larangan mencintai sesuatu hal keduniaan berlebihan sehingga mengabaikan dan mengorbankan kepentingan agama. Mencintai pasangan, keluarga dan harta benda adalah lumrah bagi manusia. Kedua-dua hal keduniaan dan akhirat hendaklah diseimbangkan untuk mendapat kebaikan dunia dan akhirat.

Islam menganjurkan supaya kita bersikap sederhana dalam semua hal  dalam urusan dunia mahupun akhirat. Hal ini termasuklah dalam urusan berdakwah kepada Allah SWT dan mencari nafkah buat keluarga. Kita ditegah daripada melakukan sesuatu secara berlebih-lebihan atau mengabaikan sesuatu perkara secara total sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah Wahb bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW telah memperakui nasihat Salman kepada Abu Darda selepas melihat kedaan Abu Darda dan isterinya dalam kekurangan:

إِنَّ لِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِضَيْفِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ ‏

Maksudnya: Sesungguhnya tubuh badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, Tuhan kamu juga mempunyai hak ke atas kamu, tetamu kamu juga mempunyai hak ke atas kamu dan isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Oleh itu, berikanlah bagi setiap yang mempunyai hak ke atas diri kamu itu akan haknya. (Riwayat al-Tirmizi)

Sebaliknya, kita hendaklah menimbang setiap sesuatu itu dengan pertimbangan yang betul dan saksama. Setiap kebaikan dilakukan pada kadar yang sesuai dengan keutamaannya tanpa mengabaikan tanggungjawab lain yang lebih besar.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 409

message user image