Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualikum tuan, saya ada kemusykilan adakah jika seseorang bermusafir cukup-cukup 2 marhalah untuk perjalanan 2 hala (pergi dan balik), sabit baginya qasar?
Sekira-kira contoh: perjalanan pergi 45KM, tanpa bermalam, balik juga 45KM yang mencukupkan 90KM atau 2 marhalah
Rujukan dan syawahid sangat saya hargai.
Terima Kasih.
Jawapan
Pensyariatan solat secara qasar disebut di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Nisa' ayat 101:
Maksudnya: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
Berdasarkan soalan yang dinyatakan, perjalanan pergi 45KM dan balik 45KM tidak dianggap 2 marhalah dan tidak cukup syarat musafir sama ada dia bermalam atau tidak. Tambahan pula, tiada mana-mana pandangan ulama yang mengatakan bahawa jarak 2 marhalah itu adalah jarak pergi dan balik.
Merujuk kepada Pengesahan Sighah Fatwa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-2/2021 pada 9 Mac 2021 dalam Penentuan Kadar Dua Marhalah, Qaryah Dan Balad Dari Perspektif Fiqh Semasa, mesyuarat memutuskan bahawa:
a) Kadar dua (2) marhalah adalah tidak kurang daripada 81 km.
Dalam menjelaskan persoalan yang dikemukakan, pihak tuan tidak boleh mengqasarkan solat kerana jarak perjalanan yang tidak mencukupi, selain rukhsah ini adalah untuk satu perjalanan iaitu pada kadar 81 km (bukan perjalanan pergi balik).
والله أعلم بالصواب