Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum . Saya telah bernikah dgn isteri saya pada tahun 1983 di Petaling Jaya Selangor.Pada tahun 1996 saya telah meninggalkan isteri saya tetapi tidak pernah melafazkan lafaz cerai samada bersaksi atau tanpa saksi. Dari tarikh tersebut isteri saya tidak pernah (setahu saya) mengadu di mana mana Jabatan Ugama Islam . Walaupun kami telah tidak tinggal sebumbung dan telah tidak menjalankan kehidupan suami isteri (saya telah tidak menunaikan nafkah zahir dan bathin sejak tahun 1996. tetapi tetap memberi nafkah anakx2 seadanya) , hubungan kami tetap baik. sehingga sekarang. Sekarang saya telah tidak bekerja atas faktor kesihatan, isteri saya dan anak yang menanggung kehidupan saya.Saya sering ke Sg Buloh melawat anakx2 dan isteri saya (isteri saya tinggal dgn anak)
Pertanyaan saya.
Adakah telah jatuh talak taklik keatas isteri saya ? Mengikut lafaz taklik (kalau tak silap saya) talak hanya akan jatuh jika isteri mengadu ke pihak berkuasa ugama islam.
Atau
Pernikahan kami masih sah.
Mohon pencerahan dari pihak tuan
Jawapan
1. Perceraian tidak berlaku sekiranya tiada sebarang lafaz talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya samada secara jelas (sorih) atau secara kiasan (kinayah).
2. Sebarang pelanggaran tanggungjawab oleh sama ada suami kepada isteri atau isteri kepada suami yang melibatkan keputusan talak yang dijatuhkan oleh pihak mahkamah syariah seperti fasakh, taklik yang dibaca selepas akad nikah atau selainnya hendaklah melalui proses mahkamah, bermula dengan aduan dari pihak-pihak kemudian perbicaraan dan akhirnya hakim akan membuat keputusan jatuh atau pun tidak.
Oleh yang demikian, sekiranya pihak-pihak tidak membuat aduan kepada mahkamah syariah, walaupun pihak-pihak tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sepatutnya, maka ikatan perkahwinan itu masih sah.