BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, bolehkah orang bukan selangor mengguna pakai fatwa yang dikeluarkan oleh jabatan mufti negeri selangor atau orang negeri lain mengguna pakai fatwa yang dikeluarkan oleh jabatan mufti negeri lain.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه

Merujuk kepada persoalan saudara, berdasarkan Seksyen 49, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Fatwa yang disiarkan dalam Warta adalah mengikat iaitu "Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan peribadi" dan menjadi kewajipan rakyat negeri ini serta mereka yang bermastautin di Negeri Selangor untuk mematuhi fatwa yang telah diputuskan kerana perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa. Ini adalah kerana di dalam Islam, patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib. 

Pada asasnya, tidak menjadi halangan bagi rakyat negeri lain untuk mengambil atau beramal dengan fatwa negeri yang lain selama mana tidak terdapat fatwa tersebut di negeri tempat dia tinggal atau fatwa yang hendak diambil tidak bercanggah dengan fatwa yang telah diwartakan di negeri di mana dia tinggal. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 51

message user image