BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan, 

Saya ingin bertanya. Saya ada 1 kemusykilan. Saya ada bernazar selepas selamat berkhawin dengan suami, saya ada bernazar untuk membawa suami untuk menunaikan umrah. Untuk pengetahuan pihak Tuan, saya dan suami berkhawin pada Ogos 2020 semasa PKP. Disebabkan pada masa itu urusan ke Tanah Suci Mekah tidak dapat dibuat, maka kami menangguhkan urusan ke sana. Pada Julai 2021, kami dikurniakan cahayamata perempuan. Baru-baru ini, ibu suami ada menyatakan hasrat supaya suami dapat menemaninya untuk menunaikan umrah pada Mei 2023.

Soalan saya, adakah dikira nazar saya dilunaskan sekiranya saya menaggung perbelanjaan suami kesana kerana sekiranya saya ingin pergi dalam keadaan kos kesana sekarang bersama saya suami dan anak, saya perlu menunggu sehingga saya benar-benar mampu.

Terima kasih Tuan

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya puan bernazar untuk menanggung perbelanjaan umrah suami puan sahaja, maka tertunai nazar tersebut jika suami puan menunaikan umrah bersama ibu beliau. Namun sekiranya puan bernazar untuk menanggung perbelanjaan umrah suami untuk pergi bersama dengan puan, maka nazar puan belum tertunai jika suami puan hanya pergi menunaikan umrah dengan ibu beliau sahaja.

Hal ini kerana nazar menurut Fuqaha adalah suatu kewajipan, ia berdasarkan kepada firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 29:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya…       

Begitu juga seperti hadis yang diriwayatkan oleh Aishah RA  bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلَا يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah SWT, maka hendaklah dia menyempurnakannya dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan perkara itu.(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini kitab al-Mawsuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiah menjelaskan bahawa sesiapa yang bernazar (mewajibkan dirinya) untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah seperti solat, sedekah, umrah dan sebagainya jika dia memperolehi nikmat atau permintaannya, maka hendaklah dia menunaikan nazar tersebut. Nazar tersebut hendaklah dilakukan walaupun tidak ditentukan syarat sama ada untuk dilakukan pada masa tertentu atau mempercepatkan dan melewatkan perbuatan tersebut.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 109

message user image