BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, Saya ingin bertanya berkaitan dengan fidyah. Sekiranya kita sudah membayar fidyah, tetapi belum selesai menggantikan puasa tersebut sehingga masuk ramadhan, adakah kita perlu membayar fidyah tersebut sekali lagi mengikut berapa tempoh masa/tahun kita tinggalkan puasa tersebut? Contohnya saya ingin menggantikan puasa saya pada tahun 2021 dan telah terlepas utk menggantikan puasa tersebut pada tahun 2022 & 2023, tetapi saya telah membayar fidyah sebelum masuk ramadhan 2023 dan belum menggantikan puasa tersebut sehingga masuk ramadhan pada tahun 2023.. adakah saya perlu membayar fidyah dan berapakah kiraan fidyah tersebut mengikut tahun yg saya tinggalkan puasa tersebut.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan puan, pada tahun 2001, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor telah sebulat suara membuat keputusan bahawa: Harus menggunakan 2 kaedah:

i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.

ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah.

Ini bermakna puan mempunyai 2 pilihan:

1. Bayaran fidyah berganda:

Puasa Ramadhan tahun 2021 yang ditinggalkan hendaklah diqada' sebelum datangnya bulan Ramadhan tahun 2022. Seandainya gagal, maka denda atau fidyah hendaklah dibayar berdasarkan jumlah hari yang belum diqada'. Walaupun fidyah telah dibayar, sekiranya masuk bulan Ramadhan 2023 dan puasa tahun 2021 itu masih belum diqada', maka fidyah perlu dibayar semula berdasarkan jumlah hari yang belum diqada'.

2. Bayaran fidyah tidak berganda:

Jika puasa Ramadhan pada tahun 2021 telah dibayar fiqyahnya, maka memadailah dengan satu kali bayaran fidyah sahaja. Walaupun berlalu bulan Ramadhan yang baru, puasa tersebut belum lagi diqada', tidak perlu lagi membayar fiqyah di atas kelewatan tersebut. Namun puasa yang ditinggalkan itu tetap wajib diqada'.

Pilihan sama ada membayar fidyah secara berganda atau tidak berganda adalah berdasarkan kepada kemampuan puan.

Kadar fidyah adalah disarankan berdasarkan kepada jenis beras yang biasa puan makan seharian seperti berikut:

1.  Beras Super Tempatan Gred A: RM2.00 / sehari

2. Beras putih import / beras perang / beras pulut / herba ponni / beras wangi: RM4.00 / sehari.

3. Beras basmathi / beras jepun / beras merah: RM6.00 / sehari.

Bagi kiraan fidyah, puan boleh layari laman web Lembaga Zakat Selangor di sini: https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/fidyah/

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 445

message user image