Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Isteri saya mengaku sudah janda (Diceraikan oleh saya) kepada bapanya serta seluruh ahli keluarganya dengan alasan ingin mendapatkan salah satu rumah milik ayahnya agar tidak jatuh pada tangan ibu tirinya, malah bukan setakat keluarga. Ramai kawan2 nya juga tahu tentang hal itu. Ia disebarkan di dalam status fbnya dan itu saya tidak pula tahu alasannya. Jadi, apakah hukumnya disisi agama serta apakah yang sewajarnya saya lakukan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, tindakan isteri yang membuat pengakuan statusnya sebagai janda adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku hanya kerana ingin mendapatkan hak milik rumah daripada ayahnya. Perbuatan tersebut boleh membawa kepada fitnah dan meninggalkan kesan buruk dalam rumahtangga. Hakikatnya beliau masih lagi seorang isteri selama mana belum berlakunya perceraian. Fitnah dan kekeliruan berkemungkinan akan berlaku apabila tuan dan isteri masih lagi tinggal bersama sedangkan telah dihebahkan beliau telah bercerai (janda). Perbuatan menipu adalah berdosa. Sebaiknya tegur dan nasihatilah isteri supaya memperbaiki keadaan dan berterus terang akan perkara yang sebenar. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.