BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada pertanyaan berkenaan dengan solat jamak. 

Ada ahli keluarga saya mengatakan bahawa boleh solat jamak di rumah sesudah sampai di rumah dari bermusafir. Mereka beritahu ada sebuah video ceramah agama yang memberi informasi boleh solat jamak di rumah dengan solat jamak tamam. Info ini berlainan dengan apa saya berlajar sewaktu sekolah dahulu.

Adakah betul pemahaman ahli keluarga saya? Atau solat jamak hanya boleh dilakukan sewaktu dalam perjalanan sahaja. Minta diperjelaskan kerana saya keliru tentang perkara ini.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umumnya menjamakkan solat tanpa sebarang keuzuran syarak adalah tidak harus bahkan solat yang dikerjakan juga tidak sah kerana solat itu didirikan bukan dalam masa yang ditentukan sedangkan perintah menunaikan solat di dalam waktunya adalah di antara syarat sah solat. Ini berdasarkan kepada sepotong ayat Al Quran dari surah Al Nisa’ ayat 103:

‏‏إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا‏

Maksudnya: Sesungguhnya solat sudah ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.

Jamak solat merupakan rukhsah atau keringanan yang Allah berikan kepada hamba-Nya yang mempunyai kesulitan dalam melaksanakan solat pada waktunya. Dalam isu solat jamak di rumah sesudah sampai di rumah dari bermusafir merupakan pandangan sebahagian ulamak mazhab Hanbali yang mengharuskan jamak solat dalam situasi sukar dengan syarat perkara tersebut bukanlah suatu kebiasaan. Namun, berdasarkan pandangan dalam mazhab Syafii tidak sah melakukan solat jamak sekiranya telah sampai ke rumah. Pandangan yang mengharuskan jamak di rumah sesudah selesai permusafiran bukanlah pandangan majoriti ulamak. Pelaksaannya pula tidak sewenang-wenangnya kerana terdapat syarat yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan umat Islam mengambil mudah atas urusan solat.

Terdapat beberapa keadaan yang diharuskan untuk menjamakkan solat walaupun ketika tidak bermusafir sebagaimana yang diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor berkaitan FATWA TENTANG HUKUM SEMBAHYANG JAMAK KERANA MENJALANI RAWATAN PENYAKIT-PENYAKIT KRONIK DI HOSPITAL KERAJAAN DAN SWASTA

  1. Harus menjama’kan sembahyang kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama.

  2. Pekerja-pekerja yang tidak dapat meninggalkan tugasnya kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti doktor yang bertugas di wad ICU dan seumpamanya yang terpaksa bertugas tanpa had masa. Keharusan menjamakkan sembahyang dikhususkan pada masa berlaku darurat sahaja, tidak terpakai pada masa sihat atau hari yang tiada rawatan atau ketika tidak bertugas.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.  


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 739

message user image