BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya mengalami haid berpanjangan, sekarang hampir 3bulan. Ada kala sehari perlu tukar 4 tuala wanita sebab penuh, ada kala keluar titik titik sikit je. 

Ini berlaku lepas saya cucuk perancang, pada doktor ia normal. 

Adakah saya boleh solat seperti biasa? Atau perlu tunggu sehingga bersih? 


message user image

Jawapan  

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada keadaan yang dinyatakan bahawa darah yang keluar berterusan sehingga melepasi 15 hari tempoh maksimum haid. Ini bermakna darah haid telah bercampur dengan darah istihaddah. Antara kaedah yang puan boleh gunakan di dalam menentukan tempoh haid adalah dengan cuba mengingati semula haid terakhir puan yang normal sebelum berlakunya darah berterusan ini. Begitu juga cuba ingat semula jumlah hari suci terakhir puan.

Sebagai contoh, sekiranya sebelum terjadinya gejala darah berterusan ini, haid puan adalah 8 hari, kemudian suci selama 20 hari, kemudian berlakulah gejala ini. Maka penyelesaiannya ialah apabila sahaja darah yang datang itu melepasi 15 hari maka hari ke 16 sepatutnya puan mandi dan solat. Kemudian jadikan haid puan hanya 8 hari sahaja dan suci puan ialah 20 hari ini. Ini bererti kitaran haid puan ialah 28 hari. Justeru, puan hendaklah qada’ semula solat yang ditinggalkan sejak dari hari ke 9 hingga hari ke 15. Selepas berlalu 28 hari yang merupakan kitaran haid puan iaitu campur hari haid dan hari suci yang normal sebelum ini, maka hari ke 29 itu anggap haid baru pula selama 8 hari, kemudian mandi dan anggap suci selama dua puluh hari, dan begitulah yang dilakukan selagi gejala itu belum tamat. Jika gejala darah berterusan ini tamat suatu hari nanti, maka mulakan pengiraan haid seperti biasa sebelum terjadinya gejala ini.

Puan disarankan untuk merujuk perkara tersebut kepada doktor perubatan. Dikhuatiri seandainya ia berterusan akan mendatangkan kemudharatan kepada puan. Puan mungkin boleh mencari kaedah merancang keluarga yang lain yang serasi dengan puan. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 146

message user image