BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Apakah hukumnya sekiranya kita sentiasa mengaitkan kejayaan org lain (suami, isteri, anak, jiran, kawan) & org yg sembuh dari penyakit adalah kerana doa kita. Contohnya:

1. sebab sy doa di mekah haritulah bisnes suami bertambah baik

2. Hari2 sy doakan awak, tengok awak dh sembuh sbb sy doa. Doa sy makbul. 

Serta apakah hukumnya kita sentiasa menceritakan amalan kita, kpd org lain. Seperti berzikir beribu kali sehari, baca yassin setiap hari, baca quran etc.

 

 

 

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan; secara asasnya mendoakan kebaikan buat saudara lain merupakan satu perbuatan yang digalakkan dalam Islam. Rasulullah SAW menyatakan bahawa orang yang mendoakan kebaikan kepada saudara Muslim yang lain tanpa pengetahuannya, dia juga akan mendapat doa yang sama daripada Malaikat. Daripada Abi Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya pula: Dan bagimu kebaikan yang sama. (Riwayat Muslim)

Namun melaksanakan ibadah doa ini, persoalan makbul atau tidak doa seseorang adalah hak Allah SWT. Doa seseorang hanya wasilah kepada makbulnya suatu permintaan. Maka, kembalikanlah segala kesyukuran dan pujian atas sesuatu kebaikan yang diperolehi oleh diri sendiri atau orang lain kepada Allah SWT semata-mata. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 79:

مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ ۖ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ

Maksudnya: Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.

Adapun persoalan beribadah dengan niat sengaja untuk menunjuk-nunjuk (riak) kepada orang lain adalah dilarang. Perkara ini dikhuatiri boleh merosakkan sesuatu amalan sehingga tidak diterima oleh Allah SWT.

Namun begitu, sifat riak ini perlu diperhalusi. Sifat riak ini berlaku dalam pelbagai bentuk percakapan dan amalan. Syaitan akan sentiasa memastikan seseorang hamba terpesong niatnya melakukan sesuatu kerana selain daripada Allah SWT dengan sifat riak ini. Maka seseorang hendaklah memperbaharui niat, berusaha menghilangkan sifat riak ini dan terus melakukan amalan yang dituntut syarak. Jika menunjuk suatu amalan itu dengan niat mendidik, menggalakkan seseorang untuk mengikuti sunnah yang baik maka dibolehkan. Sabda Rasulullah SAW daripada Jarir RA:

مَنْ سَنَّ سُنَّةَ خَيْرٍ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا فَلَهُ أَجْرُهُ وَمِثْلُ أُجُورِ مَنِ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ سَنَّ سُنَّةَ شَرٍّ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهُ وَمِثْلُ أَوْزَارِ مَنِ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: Sesiapa yang buat satu ikutan yang baik lalu diikuti maka baginya pahala dan pahala yang serupa bagi sesiapa yang mengikutinya tanpa ada pengurangan sikit pun pahala mereka. Dan barangsiapa yang buat satu ikutan yang jahat lalu diikuti, maka baginya dosa dan dosa yang serupa bagi yang mengikutinya tanpa ada pengurangan sedikit pun. (Riwayat al-Tirmizi)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 228

message user image