Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Isteri saya menjalani rawatan kanser (kimoterapi beserta radioterapi) tahun 2022. Proses rawatan tersebut turut memasuki bulan RAMADAN, bermakna beliau tidak berpuasa sepanjang bulan tersebut atas sebab proses rawatan yang tidak membenarkan ianya terputus atau terhenti. Persoalannya, perlu atau tidak puasa itu diganti sedangkan sekarang ini isteri saya masih lagi dalam proses pemulihan kesan dari rawatan teraebut? Boleh bantu saya?
Jawapan
Puasa adalah rukun Islam yang ke tiga. Namun kelonggaran diberikan kepada orang yang sakit atau bermusafir untuk tidak berpuasa dan mengqada' puasa tersebut pada hari yang lain bagi mereka yang mampu untuk berpuasa. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mampu untuk berpuasa kerana uzur disebabkan usia tua atau berterusan sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, maka memadai bagi mereka membayar fidyah tanpa perlu mengqada' puasa. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 184:
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.
Berdasarkan kepada situasi isteri tuan yang tuan nyatakan, seandainya isteri tuan masih tidak sihat sepenuhnya atau masih dalam proses pemulihan dan berpuasa boleh menjejaskan kesihatan beliau, maka memadai dengan membayar fidyah. Isteri tuan hanya diwajibkan untuk mengqada' puasa seandainya beliau mampu untuk berbuat sedemikian di kemudian hari. Jika isteri tuan tidak mampu lagi berpuasa, maka cukup baginya membayar fidyah dan tidak wajib baginya qada'.