BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ada mendengar ceramah mengenai redha dan penerimaan ujian Allah, soalan saya adalah jika saya berusaha menerima ujian Allah yg sedang saya jalani ini dengan hati yg redha adakah saya perlu lupakan niat saya untuk bercerai?

Saya keliru apa yang perlu saya buat kerana saya sudah nekad untuk bercerai demi agama saya dan anak-anak saya. Saya faham sebagai hamba Allah saya perlu terima segala ujian dengan hati yang lapang. Sekira saya meneruskan niat untuk bercerai adakah itu menandakan saya tidak menerima ujian Allah dengan sabar? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Redha secara umum boleh kita fahami dengan sifat lapang hati ketika menerima ketentuan Allah SWT dengan bersangka baik terhadap segala aturan-Nya sekalipun bertentangan dengan kehendak dan keinginan kita. Walaupun kita perlu redha dengan setiap ketetapan Ilahi, namun kita tetap berkewajipan untuk berusaha dan berikhtiar. Manusia diberi pilihan untuk mencorakkan hidupnya sendiri.

Dalam sebuah riwayat ada seseorang yang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah saya ikat unta saya lalu tawakal kepada Allah SWT ataukah saya lepas saja sambil bertawakal kepada-Nya? Rasulullah SAW menjawab :

إِعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ

Maksudnya: Ikatlah dulu untamu itu kemudian baru engkau bertawakal. (Riwayat Al-Tirmidzi)

Kita tidak tahu apa yang Allah SWT telah tetapkan tentang kesudahan hidup kita, ia merupakan rahsia Allah SWT. Oleh yang demikian, selagi Allah SWT masih kurniakan umur kepada kita, maka adalah wajar kita berusaha sebaik mungkin untuk mengubah keadaan kita ke tahap yang lebih baik.

Jika seseorang itu redha dia akan menzahirkan sikap yang optimis. Berbeza dengan pasrah, jika seseorang itu pasrah dia akan menzahirkan sikap yang pesimis dan tiada inisiatif atau usaha bagi merungkai permasalahan yang dia hadapi.

Oleh yang demikian, dalam merungkai persoalan yang puan hadapi, sekiranya puan sudah berusaha dan berikhtiar untuk menyelamatkan rumahtangga puan dengan pelbagai cara dan jalan yang telah diambil, namun sekiranya puan sudah ada satu keputusan yang muktamad setelah semua usaha dan ikhtiar itu dilaksanakan, maka ketika itulah konsep redha terhadap ketentuan Allah SWT dan tawakal kepada Allah SWT berperanan dalam memimpin hati kita untuk yakin dengam sebarang ketentuan yang telah Allah SWT putuskan untuk kita sebagai hamba-Nya. 

Memohon pembubaran perkahwinan, fasakh atau penceraian dengan sebab yang dibenarkan oleh syarak tidak bermakna puan tidak redha dengan ujian yang berlaku di dalam perjalanan perkahwinan yang puan jalani. Sebagai hamba Allah SWT kita bertanggungjawab untuk menolak sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku di dalam hidup kita. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 168

message user image